Bonda Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Tengku Puan Zanariah Almarhum Tengku Ahmad mangkat pada usia 79 tahun.
Khabar mengenai kemangkatan baginda disahkan oleh Sultan Ibrahim menerusi laman Facebook dan Instagram baginda pada pukul 8.10 pagi Isnin.
Almarhumah Tengku Puan Zanariah yang sebelum ini menggunakan gelaran sebagai Sultanah Zanariah merupakan permaisuri kedua Sultan Iskandar selepas mendirikan perkahwinan pada 1961.
Posting yang dimuat naik oleh Sultan Ibrahim di laman Instagram milik baginda.
Baginda ditabalkan sebagai Raja Permaisuri Agong antara tahun 1984 hingga 1989.
Almarhumah Tengku Puan Zanariah merupakan anakanda ketujuh daripada sembilan beradik kepada Tengku Panglima Raja Kelantan.
Sultanah Zanariah binti Almarhum Tengku Panglima Raja Ahmad berasal dari keluarga Diraja Kelantan. Baginda merupakan puteri kepada YAM Tengku Panglima Raja Kelantan Tengku Long Ahmad bin YTM Tengku Temenggong Long Abdul Ghaffar Ibni DYMM Sultan Muhammad II (Long Senik Mulut Merah).
Tengku Panglima Raja berperanan sebagai penabal Al Sultan Kelantan. Baginda dilahirkan di istana Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan. Baginda sentiasa berpegang teguh kepada adat istiadat istana serta ditambah dengan pengetahuan agama yang kuat.
Seri Paduka Baginda Sultan Zanariah binti Tengku Ahmad Panglima Raja, Raja Permaisuri Agong Malaysia sentiasa menitikberatkan sifat-sifat kesopanan dan kesusilaan apabila bergaul dengan setiap masyarakat yang berdamping dengan baginda, walau di mana baginda berada.
Dengan peribadi baginda yang lemah lembut itu, baginda sentiasa dapat menarik perhatian sesiapa juga yang bertemu dengan baginda, lebih-lebih lagi kaum sejenis dengan baginda. Sifat-sifat seumpama ini telah dapat diturunkan oleh baginda kepada Paduka putera-putera dan puteri-puteri baginda dalam menjalankan tugas baginda sebagai seorang bonda terhadap keluarga.
Diputerikan pada 5 Julai 1940 di Dusun Green, Pasir Mas, Kelantan. Baginda adalah puteri yang ketujuh kepada Yang Teramat Mulia Tengku Panglima Raja Kelantan di antara sembilan orang adik beradik.
Setelah mendapat asuhan asas yang begitu mantap dalam istana, baginda mula mendapat didikan formal di Sekolah Sultanah Zainab, Kelantan pada tahun 1946. Kemudian baginda telah melanjutkan pelajaran baginda di Convent Bukit Nenas, Kuala Lumpur dari tahun 1950 hingga 1952 dan telah berangkat kembali ke Kelantan di mana baginda meneruskan pelajaran baginda di Sekolah Sultan Ibrahim, Pasir Mas.
Lanjut pelajaran ke England
Di atas dorongan ayahanda dan disertai pula dengan perasaan untuk melengkapkan diri bagi masa hadapan, baginda telah berangkat ke England dalam tahun 1954 untuk melanjutkan lagi pelajaran baginda di Upper Chime School Isle of Wight.
Semasa berada di England inilah, maka takdir telah menentukan bahawa baginda telah ditemu buat kali pertamanya dengan baginda Sultan Iskandar yang juga pada masa yang sama berada di England bagi melanjutkan pelajaran baginda.
Bagi memantapkan lagi pengetahuan agama Islam terhadap Paduka anakanda-anakanda baginda telah menetapkan beberapa orang guru agama yang tertentu untuk memberi bimbingan ajaran agama kepada mereka di istana.
Walaupun baginda sibuk dengan tugas-tugas sebagai seorang suri rumahtangga dan juga sebagai seorang pengasuh kepada Paduka anakanda-anakanda, baginda tidak ketinggalan berangkat mengiringi baginda Sultan dalam acara-acara rasmi sama ada dalam negeri mahupun luar negeri.
Sebagai Raja Permaisuri Agong, baginda sangat-sangat menyedari akan tanggungjawab baginda terhadap kebajikan kaum wanita, khususnya dalam Negeri Johor dan menyedari akan hakikat inilah, maka dengan daya usaha baginda sendiri, baginda telah menaja serta menubuhkan sebuah badan yang diberi nama Majlis Wanita Negeri Johor atau ringkasnya ‘MAWAR’.
‘MAWAR’ telahpun digerakkan dengan mengadakan majlis-majlis Agama seperti Majlis Sambutan Maulud Nabi Muhammad s.a.w. bertempat di ibu pejabatnya di Jalan Sungai Cat, Johor Bahru. MAWAR juga telah dapat mengumpulkan wang dan seterusnya didermakan pula kepada mangsa-mangsa banjir di Negeri Johor ini dan juga kepada rakyat-rakyat yang kurang bernasib baik dan yang memerlukan bantuan serta pertolongan.
Sebagai wanita baginda amat cintakan seni dan semua yang indah. Baginda amat gemar memasak serta mengambil berat terhadap segala persiapan setiap hari. Selain dari itu, baginda juga sentiasa mengambil perhatian yang khas dalam hal memilih dan mengatur sendiri segala perhiasan di istana, terutamanya apabila diadakan majlis-majlis santapan rasmi.
Bagi mengisi masa lapang, baginda gemar mengambil bahagian dalam riadah, menunggang kuda, bermain Golf, Tenis dan baginda juga merupakan seorang yang handal dan cekap bermain ‘water ski’. Baginda juga boleh dikatakan Sultanah Johor yang pertama pernah mencatatkan sejarah apabila baginda berangkat mendaki Gunung Ledang, gunung yang tertinggi dan masyhur dalam sejarah Negeri Johor.
Baginda juga gemar membaca dan mengambil tahu tentang kebudayaan, sejarah dan hal ehwal negara jiran.
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!! DD
Sumber : mstar & wikipedia