SEORANG bapa kecewa apabila anaknya tidak memakai ‘selempang merah jambu’ pada majlis konvokesyen tamat pengajian diploma di Universiti Teknologi Mara (UiTM) tidak lama dulu.
Selempang itu menjadi buruan semua pelajar dan ia hanya layak dipakai oleh penerima Anugerah Naib Canselor (ANC) yang mendapat keputusan cemerlang setiap semester.
“Kenapa kau tak dapat kelas pertama? Kenapa kawan kau pakai selempang ‘pink’ tapi kau tak pakai? Kalau kau belajar betul-betul dulu mesti boleh dapat. Ni kau belajar main-main macam mana kau nak dapat Dekan?” soal seorang bapa yang merujuk kepada Anugerah Dekan untuk pelajar yang mendapat gred tinggi setiap semester.
Momen penuh emosi antara dua beranak.
Kisah gadis ini tular apabila bapanya tidak dapat menahan sebak apabila melihatnya memakai ‘selempang merah jambu’ pada majlis konvokesyen kali ini selepas tamat pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di UiTM, Shah Alam, baru-baru ini.
Gadis berkenaan, Hazirah Janudin, 25, berkata, dia yang memakai jubah konvokesyen dengan ‘selempang merah jambu’ teruja memeluk bapanya dan berbisik memberitahu bahawa dia berjaya mendapat keputusan kelas pertama, sehingga mengundang hiba.
“Dulu, saya berkecil hati bila abah persoalkan tentang selempang ‘pink’ masa konvo diploma. Walaupun abah cakap tak apa cuba lagi, tapi nampak wajahnya kecewa.
“Hari tu juga saya nekad untuk sambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda, belajar bersungguh-sungguh dengan niat kerana Allah SWT dan nak dapat selempang ‘pink’ yang diidamkan saya dan abah,” katanya kepada mStar Online.
Hazirah yang memakai selempang merah jambu memperoleh Anugerah Naib Canselor.
Siapa sangka, graduan Ijazah Sarjana Muda Pendidikan, Jasmani dan Kesihatan ini menempuh kisah tragis pada hari konvokesyen diplomanya, kira-kira tiga tahun lalu.
>Bayangkan, siangnya abah kecewa sebab saya tak dapat selempang ‘pink’, sebelah malam pula saya kecewakan mak sampai dia merajuk selama dua hari. HAZIRAH
Ketika itu ibu bapanya mengajaknya pulang bersama ke rumah mereka di Kuala Lumpur, selepas selesai majlis konvokesyen diploma di UiTM Jengka di Pahang.
“Saya minta abah dan mak balik dulu dan saya pulang dengan kawan-kawan kemudian. Mereka suruh balik awal, tapi saya sampai rumah dah lewat malam.
“Rupa-rupanya mak ada buat persiapan ‘makan-makan’ bagi meraikan konvokesyen saya. Mak tunggu saya balik sampai dia tertidur,” kata anak jati Kuala Lumpur ini.
Wajah ceria seorang bapa melihat kejayaan anaknya.
Disebabkan kejutan tidak menjadi itu, Hazirah berkata, dia ditegur kerana seolah-olah lebih mementingkan kawan, dan ibunya pula berasa tersinggung dengan sikapnya.
“Bayangkan, siangnya abah kecewa sebab saya tak dapat selempang ‘pink’, sebelah malam pula saya kecewakan mak sampai dia merajuk selama dua hari.
“Masa tu saya rasa kesal sebab derhaka kepada mak dan abah. Dapat diploma bukan banggakan mak dan abah, tapi lebih mengecewakan mereka,” katanya.
Hazirah percaya kejayaan yang diperolehinya adalah hasil daripada berkat doa ibu bapanya.
Mengenai konvokesyen baru-baru ini, Hazirah turut sebak dengan reaksi bapanya dan dia percaya kejayaan itu hasil daripada berkat doa kedua orang tuanya.
“Saya nak pakaikan selempang ‘pink’ kat abah, tapi abah tak nak. Dia kata biarlah dia tersenyum senang hati tengok saya yang pakai selempang ‘pink’ tu.
“Bukan abah je sebak, mak pula tiba-tiba lari menjauhkan diri daripada kami untuk bertenang sebab tidak dapat menahan menangis kerana terlalu gembira.
“Netizen persoalkan apa lah ada dengan selempang ‘pink’ tu. Bagi saya, kalau bukan kerana teguran abah tu, saya mungkin tak berusaha untuk menjadi terbaik antara yang terbaik,” katanya yang kini berkhidmat sebagai guru di sebuah sekolah swasta.
Sumber:Mstar
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon