HARI ini genap 12 hari kehilangan Mohamad Ashraf Hasan, peserta larian Gopeng Ultra Trail dengan tiada sebarang petunjuk baharu ditemui.
Misteri kehilangan pemuda itu yang lebih dikenali sebagai Acap terus menjadi bualan netizen di media sosial.
Pelbagai teori timbul dengan rata-rata netizen menyifatkan kehilangan Mohamad Ashraf atau lebih dikenali sebagai Acap ada kaitan dengan alam mistik.
Terbaharu seorang pemuda tampil berkongsi pengalaman menyeramkan semasa mendaki Bukit Batu Putih, Gopeng kira-kira dua tahun lalu di lokasi sama Acap dipercayai ‘ghaib’.
Menurut Reiz Lan, dia nyaris masuk semula ke dalam kawasan hutan tebal itu selepas mendakwa dipanggil ‘seorang budak’ dekat lorong gelap.
“Bila dah keluar dari hutan tu, dah masuk kereta dan tukar kasut, masa tu saya tiba-tiba keluar dari kereta semula. Saya dah berjalan sebab dekat lorong nak masuk tu ada budak panggil.
“Masa tu saya dah tak sedar apa. Saya sendiri pun tak tahu kenapa saya nak pergi dekat budak tu. Nak kata tertarik, bukan… tapi saya rasa macam nak pergi dekat dia,” katanya kepada mStar Online.
Operasi pencarian Acap masih lagi diteruskan.
Bagaimanapun pemuda berusia 24 tahun itu bersyukur kerana kelakuan peliknya pantas disedarinya dua rakannya yang menaiki kereta sama.
“Kawan saya yang perempuan cakap dekat Jep (kawan seorang lagi) pergi tengok Lan. Dia (Jep) terus tarik saya masuk semula ke dalam kereta.
“Jep kata jom blah… jom blah. Itulah kira kali terakhir saya pergi hiking,” katanya.
Ditanya mengenai kelibat yang melambai ke arahnya, Reiz Lan yang juga seorang jurusolek memberitahu dia hanya nampak bayang-bayang seorang budak.
“Waktu tu saya pandang ke kawasan hutan tiba-tiba tengok ada budak lambai-lambai ke arah saya. Dia tidak menyerupai manusia tapi saya hanya nampak bayang-bayang.
“Saya bersyukur kerana kawan saya pantas tarik saya masuk semula ke dalam kereta. Kalau saya masuk ke dalam hutan tu, tak tahulah apa jadi dekat saya selepas itu,” katanya.
Masa separuh perjalanan tu saya perasaaan sesuatu, saya pandang belakang saya beritahu kawan kenapa macam ramai dekat belakang dalam lima orang… ada geng lain ke? Kawan saya ni dia tahu saya jenis senang nampak benda pelik-pelik
REIZ LAN
Reiz Lan berkata mereka memulakan pendakian selepas Asar dan mengambil masa lebih kurang 45 minit untuk sampai ke puncak.
“Laluan agak mencabar sebab keadaan bukit mencanak sedikit. Jadi kami terpaksa berjalan secara menyenget.
“Walaupun jarak tak jauh mana tapi kami ambil masa lama nak sampai ke puncak. Kami perlu tolong satu sama lain sepanjang perjalanan itu,” katanya.
Reiz Lan turut menggemari aktiviti selam skuba.
Dalam pada itu, Reiz Lan yang berasal dari Batu Gajah, Perak turut mendedahkan dia turut ternampak beberapa kelibat menyerupai manusia menemani mereka menuruni kawasan berbukit itu.
“Kami turun pun lepas habis solat Magrib di puncak bukit. Semasa nak turun tu keadaan agak gelap dan kami hanya bertemankan lampu suluh di kepala. Kami sering perhati kawan masing-masing kat belakang ada ke tak.
“Masa separuh perjalanan tu saya perasaaan sesuatu, saya pandang belakang saya beritahu kawan kenapa macam ramai dekat belakang dalam lima orang… ada geng lain ke? Kawan saya ni dia tahu saya jenis senang nampak benda pelik-pelik.
“Dia cakap jangan pandang belakang, tengok je depan. Saya dah rasa tak sedap hati. Saya pandang kiri pandang kanan saya nampak macam ada orang lalu tapi sekali imbas dia hilang,” katanya.
Reiz Lan mendedahkan dia sebenarnya mempunyai kelebihan boleh melihat makhluk halus.
“Saya pernah kena banyak kali, dekat kedai makan… pergi kem pun kena juga. Saya ni sebenarnya lemah semangat.
“Jadi bila selalu kena terutamanya selepas kes hiking di Bukit Batu Putih, saya terus berubat. Sejak dari itu saya dah lama tak nampak benda bukan-bukan,” katanya.
Ibu bapa Acap turut menyertai operasi pencarian anak mereka.
Sementara itu, Reiz Lan berkata dia terpanggil berkongsi pengalaman menyeramkan tersebut kerana sedih apabila orang ramai melemparkan pelbagai teori tidak benar mengenai kehilangan Acap.
“Ada orang kata saya nak popular tapi sebenarnya saya hanya ingin berkongsi kisah benar yang saya pernah lalui sendiri. Kalau kita tengok orang komen bukan-bukan pun ada.
“Orang boleh cakap apa sahaja kerana mereka sendiri tidak pernah melalui situasi itu. Saya sebak bila tengok video mak dia (Acap). Dalam hati pun terfikir macam manalah situasi dia sekarang ini,” katanya.
Pada masa sama, pemuda itu turut berharap agar Acap dapat ditemui segera.
“Saya sentiasa mendoakan agar Acap ditemui segera. Kasihan dekat mak dia walaupun sakit tetapi tetap gigihkan diri naik bukit untuk cari anak dia.
“Saya juga ingin kongsikan nasihat arwah Opah saya kalau masuk hutan kena beringat. Jangan sesekali ingkar. Nak mula sesuatu bacalah Bismillah,” katanya.
Sumber : Mstar
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon