Adalah sesuatu yang menyenangkan jika mempunyai kawan baik yang berkongsi banyak persamaan dengan kita. Kita berasa sangat gembira jika ada yang memahami dan mengetahui apa yang kita perlu atau apa yang kita mahukan.
Lain pula ceritanya dengan kanak-kanak lelaki dari Oklahoma ini apabila dia memilih seekor kucing sebagai kawannya kerana mereka berkongsi ‘sesuatu’ yang sama.
Madden Humphreys memilih haiwan ini sebagai temannya kerana mereka mempunyai persamaan. Percaya atau tidak kedua-duanya mempunyai sepasang mata yang berlainan warnanya iaitu sebelah kanan berwarna hijau dan sebelah kiri berwarna biru, memang unik!
Madden adalah seperti kanak-kanak lain yang gemar bermain, bertenaga namun ada dia memiliki keistimewaan yang tidak ada pada kanak-kanak lain. Madden mempunyai heterochromia iridum atau dalam kata lain ‘mata berwarna yang berbeza’.
Hal ini bermaksud bahawa kedua-dua matanya mempuyai warna yang berbeza. Selebriti seperti Mila Kunis, David Bowie dan Keifer Sutherland juga berkongsi keadaan unik yang sama.
Namun begitu, nasibnya tidak seperti kanak-kanak lain kerana keistimewaan yang dimilikinya membuatkan Madden sering dibuli di sekolah. Dia akhirnya rasa terpencil dan ke mana sahaja dia pergi dia tidak menjumpai orang lain yang mempunyai keistimewaan yang sama sepertinya.
Hal ini berlaku sehinggalah dia akhirnya bertemu dengan kucing yang diberi nama Moon.
Heterochromia iridum adalah apabila seseorang mempunyai dua mata berwarna yang berbeza pada bahagian iris. Tetapi lain pula dalam kes Madden kerana keseluruhan matanya memiliki warna yang berbeza sama sekali. Ia adalah keadaan yang sangat jarang berlaku dan hanya berlaku kepada kurang daripada 1% penduduk di dunia.
Dengan bantuan daripada beberapa orang rakan baik yang membiayai perjalanan Madden sekeluarga, mereka dapat melakukan perjalanan dari Oklahoma ke Minnesota untuk menerima kucing bermata unik yang sama sepertinya secara rasmi. Menurut ibunya, Christina mereka tahu bahawa mereka ditakdirkan untuk menjaga dan menyayangi kucing tersebut.
Menurut Christina lagi, Moon adalah sahabat yang sempurna untuk anaknya. Walaupun dunia penuh dengan kebencian dan buli namun mereka memilih untuk berkasih-sayang. Dia juga yakin bahawa Moon akan menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup Madden.
Christina juga berharap anaknya menyedari sesuatu perkara yang penting mengenai dirinya iaitu, Madden dilahirkan dengan keunikan yang luar biasa seperti ‘magis’ dan mereka berdua adalah seperti sebuah keajaiban.
Sebelum Moon muncul dalah hidup Madden, kanak-kanak ini pernah menjadi tular dengan video-videonya berkenaan dengan anti-buli yang meraikan perbezaan dan menggalakkan orang untuk berbuat baik.
Video itu dirakam dan dimuat naik selepas Madden dibuli di dalam bas sekolah. Menurut Christina, kejadian malang ini “melunturkan semangat Madden” pada masa itu, tetapi sekarang, dia yakin bahawa dengan kehadiran Moon akan dapat membantu meningkatkan keyakinan anaknya.
Kini, Madden tidak akan berasa sendirian lagi kerana sudah ada Moon di sisinya. Perbezaan mereka adalah sebuah keistimewaan dan keunikan yang harus dihargai!
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: MY POSITIVE OUTLOOKS Via EraBaru