Kena Tolong Lebih Sedikit Sbb Dia Istimewa.. Ibu bangsa Cina sanggup hantar anak OKU Muslim ke masjid, daftar sekolah tahfiz – Cite Malaya

KASIH sayang dan cinta seorang ibu berbangsa Cina ini terhadap anak sulungnya yang berbeza agama ini amat luar biasa.

Tidak pernah berubah, malah dia lebih menyayangi anak istimewanya yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) cacat penglihatan itu yang sudah memeluk Islam kira-kira empat tahun lalu.

Itulah luahan Ang Bee Cheng, ibu kepada mualaf Tan Mike Foong, 23, yang melanjutkan pengajian di Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) yang terletak di Kuala Kubu Bharu, Selangor.

“Mike tetap anak saya… darah daging saya. Jadi kasih sayang saya sebagai ibu kepada dia tidak pernah berkurang, masih sama macam dulu.

“Malah tumpuan lebih banyak diberikan terhadap Mike berbanding adik-adik dia yang lain. Dia istimewa kena tolong lebih sedikit tapi hakikatnya saya sayang semua anak-anak saya,” katanya ketika dihubungi mStar.

Menurut wanita berusia 48 tahun itu, dia sering menziarahi anak sulungnya sejak melanjutkan pengajian peringkat Diploma Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat di Darul Quran Jakim minggu lalu.

Mike bersama ibunya semasa majlis konvokesyen selepas mengikuti latihan kemahiran pengurusan pejabat di bawah Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB). Foto ihsan Ang Bee Cheng

“Boleh kata hampir tiap-tiap hari jumpa dia… ambil baju kotor, hantar sedikit makanan dan buah-buahan. Tak kira pagi atau petang bila free saya pergi ke sana. Dia sekarang sudah mula sekolah jadi kadang-kadang jumpa, kadang-kadang tak.

“Kalau tak jumpa dia saya angkat baju kotor dia kemudian balik. Saya tak bagi dia cuci baju sendiri walaupun dia boleh buat. Saya cakap dekat dia selagi mak boleh, mak tolonglah. Nanti kalau mak tak ada, awak kena tolonglah diri sendiri,” kata suri rumah itu.

Namun, apa yang dilakukan itu bukanlah sesuatu yang baharu bagi Bee Cheng kerana itulah rutin yang dilaluinya ketika Mike bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pendidikan Khas Setapak, Kuala Lumpur beberapa tahun lalu.

“Saya sudah biasa. Dulu masa dia sekolah di Setapak saya datang setiap Jumaat angkat baju kotor, kemudian Ahad hantar balik baju bersih,” katanya.

Gambar kenangan Mike (kiri) semasa bersama keluarganya yang diambil kira-kira enam tahun lalu. Foto ihsan Ang Bee Cheng

Malah Bee Cheng berkata, dia turut menghantar Mike pergi ke masjid berdekatan rumah mereka untuk solat Jumaat ketika cuti semester.

“Waktu cuti semester saya hantar Mike pergi masjid tapi saya tak tunggu sampai habis. Lagipun masjid dekat sahaja dengan rumah lebih kurang lima minit perjalanan.

“Lepas hantar Mike saya ambil adik dia balik dari sekolah. Lepas tu barulah kami singgah semula di masjid ambil dia balik,” katanya.

Ditanya mengenai perasaannya sebaik mengetahui anaknya sudah memeluk Islam, Bee Cheng berkata selain terkejut hatinya juga luluh.

Dia cacat penglihatan sejak lahir sebab lahir tak cukup bulan. Sewaktu lahir berat dia hanya 900 gram sahaja, tapi dia boleh sesuaikan diri.

ANG BEE CHENG

Ibu pelajar tahfiz mualaf

“Saya kecewa sebab dia buat senyap-senyap. Apabila tahu tu saya marahlah. Hati saya sakit. Mak mana sanggup lihat anak dia masuk agama lain. Bapa dia pun tak suka.

“Tapi sekarang dah OK. Saya hormati keputusan dia untuk jadi seorang Muslim. Saya kena terima dan harap dia gembira dengan pilihan hidupnya,” kata ibu kepada tiga anak itu.

Bee Cheng berkata rahsia Mike memeluk Islam terbongkar semasa mereka sedang makan bersama di sebuah kedai Cina Muslim beberapa tahun lalu.

“Saya dapat tahu selepas hampir setahun setengah dia masuk Islam. Ada satu hari saya pergi datang cari dia dekat Setapak sebab dia ada buat program sukarelawan di sana.

“Lepas tu kami pergi makan sama-sama. Tiba-tiba ada orang kedai tanya dia… mak awak pun Muslim ke? Dari situ saya tahu Mike masuk Islam,” katanya yang menganuti agama Buddha, begitu juga suami dan dua anaknya yang lain.

Ditanya mengenai apa yang membuatkan anaknya itu berminat terhadap Islam, Bee Cheng berkata anaknya itu suka mendengar laungan azan dari surau berdekatan rumah mereka di Kampung Asam Kumbang, Kuala Kubu Bharu.

Mike bersama adik bongsunya berusia tujuh tahun. Foto ihsan Ang Bee Cheng

“Dia suka dengar bunyi azan. Dia kata sedap dia suka,” katanya yang turut mendedahkan Mike pandai bermain piano dan gitar.

Jelas Bee Cheng, Mike tidak dapat melihat sejak lahir kerana dia dilahirkan tidak cukup bulan.

“Dia cacat penglihatan sejak lahir sebab lahir tak cukup bulan. Sewaktu lahir berat dia hanya 900 gram sahaja, tapi dia boleh sesuaikan diri.

“Dia OK cuma kita perlu bagi makanan, mandi pun boleh sendiri. Kalau barang kita kena letak dekat tempat biasa, tak boleh tukar-tukar sebab dia langsung tak nampak hanya boleh nampak bayang-bayang sahaja,” katanya.

Kisah Mike semasa sesi pendaftaran pelajar baharu di Darul Quran Jakim pada Selasa menjadi tular apabila dia ditemani ibunya yang bukan beragama Islam.

Mike semasa menghadiri sesi orientasi minggu lalu. Foto FB Darul Quran Jakim

Kini dia ditawarkan program pengajian Diploma Tahfiz Al-Quran dan Al Qiraat di atas kemampuan, kesungguhan dan prestasi yang luar biasa semasa pengajian sijil Asas Tahfiz 2018.

“Jangan terkejut pula kalau tengok akhir Julai nanti Mike dah graduasi sedangkan baru sahaja mendaftar. Beliau sebenarnya graduasi untuk Program Sijil Asas Tahfiz tahun lalu,” kata wakil Darul Quran Jakim.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: mStar via citemalaya