BULAN Ramadan sememangnya banyak menguji kesabaran setiap umat Islam yang menjalani ibadah puasa seperti menahan lapar dan dahaga, selain ditakdirkan berdepan dugaan menjelang iftar.
Di saat ramai mengejar masa untuk berbuka puasa, sebahagian penumpang yang menaiki feri dari Langkawi ke Kuala Kedah pada petang Selasa diuji apabila perkhidmatan pengangkutan itu mengalami masalah teknikal di tengah laut dan terpaksa berpatah balik.
“Tiba-tiba feri rosak dan patah balik. Tukar feri semula dan tak ada makanan untuk berbuka. Jadi, berbuka dengan air saja. Tiba-tiba ada aunty Cina ni bagi coklat untuk berbuka.
“Kemudian dia buka semua coklat dia pergi bagi kat semua orang yang puasa dalam feri sebab dia cakap kena makan kalau berbuka. Lepas tu mamat Cina kat belakang aku bagi pula KFC. Berjurai air mata aku,” menurut perkongsian penumpang itu di laman sosial sehingga menjadi tular.
Wanita berkenaan berjalan ke setiap barisan tempat duduk untuk mengedarkan makanan kepada penumpang.
Penumpang berkenaan, Muhammad Nasir Abdul Kadir berkata, dia bersama keluarganya dalam perjalanan pulang dari rumah kakaknya di Langkawi ke rumah mereka di Alor Setar, Kedah.
Pemuda berusia 30 tahun itu memberitahu, tiada persiapan juadah berbuka puasa disediakan kerana feri bertolak dari Terminal Feri Kuah, Langkawi pada pukul 5 petang dan perjalanan mengambil masa kira-kira satu setengah jam.
“Feri yang kami naik sepatutnya tiba di Terminal Feri Kuala Kedah pukul 6.30 petang. Jadi, kami tak sedia apa-apa kerana menjangka akan sempat pulang ke rumah atau singgah buka puasa di mana-mana.
“Tapi semasa dalam perjalanan kira-kira pukul 6 petang, kami dimaklumkan feri mengalami masalah teknikal. Sampai saja di Terminal Feri Kuah dah pukul
7 petang terus kami naik ke feri lain dan bertolak semula ke Kuala Kedah,” katanya kepada mStar.
Perkongsian Muhammad Nasir di laman sosial sehingga menjadi tular.
Muhammad Nasir yang berasal dari Alor Setar itu memberitahu, dia tidak berpeluang untuk keluar sebentar ke terminal untuk membeli juadah berbuka puasa kerana feri sudah mahu berlepas.
Dalam perjalanan berpatah balik ke Kuala Kedah, katanya, terdapat petugas feri yang menjual minuman tetapi jumlah yang disediakan tidak dapat menampung kesemua penumpang.
“Saya duduk di antara barisan paling depan. Petugas mula jual air dari belakang dan sampai kat saya, cuma tinggal empat tin saja tapi ada beberapa penumpang lagi di depan saya.
“Tapi tak apa, saya hanya beli dua tin untuk dikongsikan bersama ibu, isteri dan seorang anak. Bakinya boleh dibeli oleh penumpang lain,” ujarnya.
Muhammad Nasir Abdul Kadir.
Kemudian seorang penumpang wanita berbangsa Cina berusia lewat 40an yang duduk berdekatan menegur dan menawarkan coklat untuk berbuka puasa.
“Aunty tu kata tak cukup kalau minum saja, mesti lapar kan. Mula-mula dia buka satu pek coklat saja untuk beri kami dan beberapa penumpang lain, tapi lepas tu dia beri kepada penumpang lain di bahagian belakang.
“Dia kemudian cepat-cepat kembali ke tempat duduk dan keluarkan semua pek coklat dari dalam plastik dan jenamanya bukan yang murah-murah. Selepas itu, dia berjalan ke setiap barisan tempat duduk penumpang dan mengagihkannya sampai habis kesemua coklat yang dibelinya,” katanya.
Satu pengalaman yang cukup indah, kami rasa seperti satu keluarga di dalam feri ketika itu walaupun berlainan bangsa dan agama. MUHAMMAD NASIR
Jurutera itu turut mendedahkan sebenarnya ramai lagi penumpang bukan Islam yang turut menawarkan makanan dan minuman kepada penumpang Islam untuk berbuka puasa.
“Bukan aunty tu saja, tapi ramai lagi buat macam tu. Ada yang kongsi air minuman, makanan segera termasuk biskut. Jujurnya, saya rasa nak menangis tengok sebab terharu,” katanya yang tidak sempat bertanyakan nama wanita itu tetapi berasal dari utara berdasarkan loghat yang dituturnya.
Antara penumpang yang berbuka puasa di dalam feri.
Walaupun sekadar berkongsi air minuman dalam tin dan hanya menjamah sedikit makanan bersama keluarga untuk berbuka puasa, tetapi pengalaman itu digambarkannya begitu indah.
“Saya amat terharu dengan kemuliaan hati aunty tu dan penumpang-penumpang bukan Islam yang lain. Satu pengalaman yang cukup indah, kami rasa seperti satu keluarga di dalam feri ketika itu walaupun berlainan bangsa dan agama.
“Siapa cakap orang Cina ni rasis adalah tak patut. Rasis tu adalah sikap individu tu sendiri. Orang cina di Malaysia ni baik-baik, kaum lain pun sama baik.
“Kami hanya dapat berterima kasih, tak sempat nak balas jasa budi mereka. Kepada aunty baju merah tu… kalau kami dapat bertemu dengan aunty lagi, kami sekeluarga mahu ajak untuk berbuka puasa bersama,” katanya.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: mStar