APAKAN daya untung tak kunjung tiba, begitulah nasib seorang pemuda yang berniaga air di bazar Ramadan bersama bapa saudaranya sejak 1 Ramadan lalu.
Menurut Aiman Syakir Sabaahul Ahmad, dia buntu dan kecewa apabila memikirkan nasib malangnya berniaga pada bulan puasa buat pertama kalinya tahun ini.
Penuntut di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur itu mengakui, dua balang air jualannya pernah langsung tidak terjual semasa berniaga di Uptown Kota Warisan, Sepang.
“Tempat kat situ lawa siap ada tempat busking, meja penuh… kalau orang datang memang stay lamalah. Tapi sejak seminggu berniaga di situ saya tak tahu apa yang kurang.
“Orang kata bisnes ada up and down tapi masa tu dah macam tiga empat hari straight dapat RM20, RM30 dan kadang-kadang tak ada langsung.
“Saya sedih tak tahu cakap macam mana. Saya dah buat semua, orang kata dah lengkap meja, banner tapi asyik rugi memanjang,” katanya ketika dihubungi mStar.
Sejak 1 Ramadan lalu, Aiman dan bapa saudaranya, Mohd Syahmi Ghazali, 25, berniaga air jagung coklat dan karamel serta air durian belanda atau honeydew.
“Saya jual air jagung coklat dan karamel RM2 cawan besar manakala RM3 plastik (ikat). Lagi satu balang tu air random, kadang-kadang air durian belanda atau air honeydew, tukar-tukar.
Aiman (kiri) bersama bapa saudaranya berniaga air sejak 1 Ramadan lalu. – Foto ihsan Aiman Syakir
“Kadang-kadang empat lima orang macam tu je datang. Pernah juga dua-dua balang tak habis. Saya tak ada pilihan. Air yang dah ikat tu saya bagi dekat bazar sebelah.
“Ada juga bagi dekat OKU yang ada kat situ. Dekat kawasan rumah saya tu ada guard Bangla. Jadi saya bagi jelah empat lima ikat dekat mereka buat berbuka,” katanya yang sedang cuti semester ketika ini.
Jelas pemuda berusia 20 tahun itu, dia juga sebak apabila memikirkan laksa kuah putih hasil air tangan ibunya yang tidak habis dijual pada hari pertama dan kedua puasa.
“Mak suruh jual jadi saya pun excited nak tolong. Saya letaklah dekat tepi meja tapi itulah tak terusik. Selalunya orang akan datang gerai tapi saya pergi meja ke meja untuk jual laksa tu.
“Kadang ada yang tolak, kadang ada pandang saya macam minta sedekah tapi waktu tu saya hanya ingat nak tolong mak saya habiskan laksa dia. Saya pun jual separuh harga RM2 padahal harga RM4.
“Alhamdulillah adalah dua tiga orang yang beli dan ada saya makan sikit. Bila bawa balik laksa mak tanya jualan macam mana. Saya berat hati nak beritahu dan beri sikit duit jualan air balang tu kat dia,” katanya.
Aiman berkata dia juga sebak selepas melihat riak wajah sedih ibunya selepas melihat baki laksa yang masih banyak.
Mohd Syahmi bersama laksa yang tidak habis dijual. Foto ihsan Aiman Syakir
“Nampaklah riak muka dia sedih, penat bangun sahur semua nak buat laksa tu tiba-tiba dapat macam tu pula. Saya pula tak tahu nak tolong macam mana lagi.
“Kalau air balang tu ok saya boleh je bagi semua tapi saya sendiri pun jualan teruk. Selasa lalu saya dapat RM30 lepas modal untuk satu balang air saja.
“Tapi ada dua tiga customer try laksa tu mereka kata memang sedap. Saya sendiri makan pun memang sedap. Mungkin orang tak cuba tak tahu jadi itu yang tak habis,” katanya.
Kecewa kerana jualan di tapak tersebut tidak menampakkan sebarang hasil, Aiman dan bapa saudaranya mencuba nasib berniaga air di Kuala Lumpur.
“Empat hari lepas saya pergi KL sebab nak buka tapak dekat sana, lagipun saya ada rumah sewa dekat sana. Bila kat situ macam-macam jadi sebab kena mohon permit semua.
“Hari pertama buka tapak di Sri Rampai, Setapak… Alhamdulillah, walaupun berniaga dalam sejam dapatlah dalam RM70. Tapi keesokan harinya saya datang dapat RM20.
“Kemudian esoknya saya nak dapat balik modal untuk hari semalam tapi tak dapat buka tapak sebab ada DBKL. Nak cari tempat lain saya pun fikir dua tiga kali, sekali nak buka dah lewat,” katanya.
Memandangkan air sudah siap dibancuh, anak kedua daripada empat beradik itu berkata dia terpaksa memberi air yang sudah siap dibungkus kepada orang ramai yang lalu-lalang dekat gerainya
Air jagung coklat karamel yang dijual di gerai Aiman.
“Saya tengok air tu sedih je Ya Allah. Saya sedekahkan dekat gerai-gerai lain dan orang yang lalu-lalang. Memang tak boleh buat apa.
“Model satu balang tu RM30, saya buka dua balang. Maknanya haritu RM60 burn macam tu saja. Kiranya kami banyak berhutang dengan diri sendiri untuk berniaga hari seterusnya,” katanya.
Penuntut Diploma Ukur Bahan itu turut menceritakan pengalaman menyedihkan dia dan bapanya terpaksa berbuka ikat perut dengan hanya minum air jualan tersebut.
“Ada satu hari tu kami terdesak sebab jualan dapat RM20… tak boleh buat apa. Duit modal dapat sikit sebab banyak sangat rugi sebelum tu.
Kadang ada yang tolak, kadang ada pandang saya macam minta sedekah tapi waktu tu saya hanya ingat nak tolong mak saya habiskan laksa dia. Saya pun jual separuh harga RM2 padahal harga RM4.
“Kami terpaksa berbuka minum air yang kami jual kemudian adalah ambil RM1 atau RM2 beli nasi lemak. Masa tu dekat KL, lauk berbuka itulah juga makanan sahur kami.
“Masa tu saya dengan pak cik, jadi perbelanjaan kena bahagi dua. Saya memang down sangat-sangat. Saya pun tak sampai hati dan serba salah nak minta duit dekat mak dan ayah,” katanya.
Namun Aiman tidak berputus-asa dan kembali berniaga di tapak Uptown Kota Warisan, Sepang yang terletak berhampiran rumah keluarganya.
Meskipun rugi, senyuman tetap terukir di wajah Aiman.
“Lepas rugi di KL saya patah balik rumah mak ayah. Biar kurang daripada dekat KL, dahlah susah nak basuh balang semua. Selasa lalu dapatlah RM30, lebih RM10 dari kat KL.
“Kelmarin (Rabu) saya pergi berniaga lagi tapi pak cik saya buka dekat Nilai. Saya harap dekat sana bolehlah tanggung balik modal sebelum ini,” katanya.
Aiman juga terkilan kerana hasrat untuk mengumpul wang bagi membantu ibu dan bapanya menunaikan umrah belum kesampaian.
“Terkilan, kecewa semua ada. Tapi pengalaman ini buatkan saya bangkit dan lebih bersemangat untuk berniaga.
“Saya percaya rezeki Allah tu ada kat mana-mana. Tak apa, mungkin bukan hari ni, esok lusa, mungkin minggu depan adalah rezeki saya. Saya sudah buat yang terbaik,” katanya.
Kisah sedih ini dikongsi Aiman menerusi satu bebenang di Twitternya sehingga mendapat ulang kicau sebanyak 9,635 kali dan 4,905 tanda suka.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: mStar via EdisiMedia