Menerusi majalah Mingguan Wanita edisi Mei Volume 1, pelakon dan hos senior, Raja Azura ada berkongsi mengenai situasinya sekeluarga dalam menjalani ibadah puasa tahun ini.
Katanya seperti yang dipetik, sama seperti para ibu lainnya, dia akan memasak serta menyediakan juadah untuk berbuka.
“Pada bulan Ramadan saya akan masak. Walaupun rumah saya terletak berhampiran bazar Ramadan, saya tidak akan beli makanan di sana. Biasanya ketika berbuka puasa kami tidak makan nasi.
“Saya akan masak apa sahaja makanan yang anak suka. Saya hanya masak makanan berat ketika waktu sahur. Cuma pada tahun ini, rumah saya agak sunyi sedikit kerana anak-anak tinggal di asrama.
“Ketika Ramadan, saya dan keluarga akan buat aktiviti yang akan mengeratkan aktiviti keluarga. Biasanya saya akan tengok dahulu jadual persekolahan anak-anak. Bila waktu cuti barulah aktiviti ini akan diadakan,” kata pemilik nama lengkap YM Raja Azura Tengku Ahmad Tajudin ini lagi.
Bagaimanapun memandangkan anak-anaknya tinggal di asrama, mereka sekeluarga hanya akan dapat melakukan terawih bersama-sama andai setiap anggota keluarga ada di rumah.
“Apabila semua ada di rumah, kami akan solat terawih bersama-sama. Emak dan keluarga abang saya juga akan turut sama melakukan solat terawih tersebut.
“Aktiviti itu biasanya dibuat di rumah saya. Insyaallah ini adalah tahun ketiga kami melakukan aktiviti ini,” cerita Kak Engku.
Malah, bercakap soal menu pula, bintang yang sinonim dipanggil Kak Engku ini bersyukur kerana mempunyai anak-anak yang tidak memilih makan.
“Tetapi lauk yang paling mereka suka antaranya adalah ayam masak kicap, kari ikan dan ayam goreng berempah. Bagi saya penting masakan air tangan ibu dalam membesarkan anak-anak.
“Ketika memasak juga saya ikut petua orang tua-tua dengan membaca selawat sebanyak tiga kali. Apabila basuh beras saya selalu berdoa mudah-mudahan rezeki yang kita beri menjadi darah daging anak-anak dan diharapkan anak-anak menjadi anak yang soleh, anak-anak juga selalu akan ingat kita.
“Tetapi saya tidak tahulah apa yang orang sekarang buat atau tidak. Saya ini hidup dengan emak. Saya cakap terus-terang. Nama sahaja saya ini artis tetapi saya tidak ada kawan rapat artis. Hidup saya di dalam rumah sahaja. Habis kerja saya akan balik ke rumah. Kawan saya adalah anak-anak, sepupu saya dan emak dan bapa saya,” luahnya lagi.
Sebenarnya, banyak lagi yang dikongsikan pelakon drama ikonik, Pengantin Popular ini menerusi Mingguan Wanita. Kalau nak tahu lebih jangan lupa untuk dapatkan majalah ini edisi terkini ni okay!
View this post on Instagram
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: Instagram Raja Azura via MediaHiburan