MEMENTINGKAN kualiti lebih daripada kuantiti membuatkan penyanyi Siti Sarah Raissuddin bersikap cerewet dalam pemilihan lagu baharunya.
Tidak mahu menghasilkan sebuah karya hanya mengikut sedap telinga dan cita rasa sendiri, Sarah, 34, yang sudah lebih 15 tahun bergiat aktif dalam industri seni tanah air itu mahu lagu dendangannya mendapat sambutan baik daripada peminat yang sudah menanti agak lama buah tangan baharunya.
Justeru, selepas berakhirnya Gegar Vaganza musim ketiga (GV3) dua tahun lalu, Sarah mengakui telah menerima 50 buah lagu daripada beberapa komposer.
Akan tetapi tanpa berselindung, Sarah mengakui, dia menolak kesemua lagu-lagu tersebut dengan alasan tidak sesuai dengan jiwanya. Bukan menidakkan kebolehan dan bakat seseorang namun dia yakin dirinya perlu bersikap lebih selektif seiring kematangannya dalam arus muzik perdana.
“Sejak tamat GGV3, memang banyak lagu yang saya peroleh namun apabila dengar demo, saya terpaksa menolak semua lagu-lagu tersebut. Antara faktor-faktor yang menyebabkan saya tidak terima kerana ketidak sesuaian dengan jiwa dan karakter saya sebagai Siti Sarah.
“Kalau saya terima, mungkin saya hanya akan merosakkan keindahan lagu-lagu tersebut. Jadi lebih baik diberikan kepada penyanyi yang lebih sesuai,” jelasnya.
Dan siapa menyangka, untuk kemunculan semulanya dalam bidang seni suara, Sarah mengambil keputusan memilih lagu ciptaan insan yang paling dekat dengan dirinya, tidak lain dan tidak bukan, suaminya sendiri, Shuib Sepahtu.
“Rupa-rupanya orang yang paling dekat dan sesuai buat lagu untuk saya iaitu suami sendiri. Secara jujurnya ini antara salah satu sebab mengapa single baharu ini mengambil masa yang sangat lama.
“Alhamdulillah, saya rasa lagu ini melekat dalam hati saya. Cuma proses lagu ini ambil masa yang agak lama tidak seperti lagu-lagu yang pernah saya rakamkan sebelum ini.
“Pada mulanya saya tidak begitu suka dengan lagu ini tetapi dengan kuasa veto seorang suami yang pandai memujuk, saya tewas dan akur. Malah saya juga diyakinkan dengan pihak Indigital Music bahawa lirik yang ditulis Shuib menepati cita rasa pendengar.
“Lagu ini sangat peribadi buat saya kerana suami sendiri yang ciptakan, tentu sekali nilai sentimentalnya sangat tinggi.
“Kisah di sebalik lagu ini adalah tentang betapa sayangnya seorang perempuan kepada seorang lelaki dan tetap akan ada rasa sayang serta dekat dengan lelaki itu,” katanya berkongsi tentang pemilihan lagu berjudul Semakin yang yang menjadi single baharunya.
Lagu tersebut turut dijadikan lagu latar untuk drama slot Akasia yang akan ditayangkan tidak lama lagi.
View this post on InstagramJodoh tu rahsia Allah.. tapi cinta kita bukan lagi rahsia… cia cia cia macam tak kene je😂
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: Utusan, IG SitiSarah