Pertama Kali Raikan Syawal Bersama Keluarga Kandung, Wanita Ini Ucap Syahadah Selepas 5 Hajat Dimakbul

PERSAHABATANNYA dengan seorang rakan sekolah membuatkan Shahmila Shahmugam, tertarik dengan keindahan akhlak seorang Muslim.

Shahmila yang ketika itu berusia 17 tahun mula menunjukkan minat terhadap Islam selepas melihat rakannya menunaikan solat.

Selepas melangkah masuk ke alam universiti, wanita yang berasal dari Petaling Jaya, Selangor itu bergaul dengan lebih ramai kenalan Melayu yang sering mengajarnya tentang Islam.

Kata wanita yang kini berusia 27 tahun ini, hatinya semakin tertarik dengan Islam selepas menghadiri ceramah di surau Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) ketika masih bergelar mahasiswa di institusi tersebut.

“Ketika itu, kawan saya ajak pergi surau untuk dengar ceramah seorang ustaz.

“Dalam ceramah itu, ustaz tersebut berkata, walau apa pun agama kita, cubalah berdoa kepada Allah dan saya pun cuba lakukannya,” katanya

Shahmila (dua dari kiri) kini menjalani program kadet PTD di Institut Tadbiran Awam Negara.

Ketika hatinya masih berbelah bahagi untuk membuat keputusan terbesar dalam hidupnya, anak ketiga daripada lima beradik itu berdoa agar lima perkara yang dihajatinya dimakbulkan Allah.

Tanpa diduga, kelima-lima hajat tersebut berjaya dimakbulkan dalam tempoh tiga bulan sahaja.

“Pertama, saya berdoa nak biasiswa dan tak sangka sesuatu yang saya rasa mustahil berlaku, tapi terjadi dengan izin-Nya.

“Masa tu keputusan biasiswa sudah keluar dan saya tidak berjaya, tapi tidak sangka selepas saya periksa bahagian ‘spam’ emel kira-kira seminggu kemudian, saya berjaya.

“Mungkin ada orang lain yang tolak tawaran tersebut dan saya terpilih untuk menggantikannya,” ujar Shahmila.

Hajat keduanya untuk kembali akrab dengan bapanya juga terlaksana, sementara hajat ketiganya pula ingin mencapai keputusan cemerlang dalam pelajaran.

Pertama, saya berdoa nak biasiswa dan tak sangka sesuatu yang saya rasa mustahil berlaku, tapi terjadi dengan izin-Nya.

SHAHMILA SHAHMUGAM

Seterusnya, Shahmila memohon agar diberikan ketenangan dan dikurniakan rezeki untuk mengatasi masalah kewangan keluarganya.

Selepas segala hajatnya dipenuhi, wanita itu bertambah yakin untuk mengucap dua kalimah syahadah pada Ramadan dua tahun lalu.

Pada awalnya, bapa kepada graduan kejuruteraan kimia dari UTHM itu sukar menerima keputusan anak perempuan tunggalnya untuk memeluk agama Islam.

Namun, lama-kelamaan bapa Shahmila menerima keputusan tersebut dengan hati terbuka dan tahun ini merupakan tahun pertama mereka sekeluarga akan meraikan Syawal bersama dengannya.

“Sejak memeluk Islam, saya tidak pernah lagi beraya. Tapi, tahun ini saya sudah sertai program kadet Pegawai Tadbir Diplomatik (PTD) dan ramai kawan-kawan Melayu yang ajak saya raya bersama.

“Keluarga pun akan tumpang meraikan Syawal bersama-sama. Mak saya akan masak rendang dan beli lemang untuk dinikmati pada Hari Raya Aidilfitri,” katanya.

Kwai Leng (kiri) ketika menyaksikan arwah ibunya memeluk Islam di hospital.

Sementara itu, seorang eksekutif bahagian hospitaliti di sebuah syarikat swasta tidak dapat melupakan kenangan menyambut Ramadan dan Syawal terakhir bersama Allahyarham ibunya pada 2017.

Kata Ang Kwai Leng, 46, sebelum meninggal dunia, ibunya adalah antara individu yang tidak merestui niatnya untuk mendalami agama Islam kerana berpegang kuat kepada ajaran Buddha Jepun.

“Ibu saya marah dan dia tanya kenapa hidup dah bahagia dengan keluarga dan kemudian nak berpisah sebab mahu memeluk Islam.

“Tapi, saya tak sangka, seminggu selepas masuk Islam, ibu saya pun mengucap dua kalimah syahadah ketika dia terlantar sakit di hospital,” kongsi wanita yang berasal dari Puchong, Selangor itu.

Kwai Leng dan suaminya bergambar bersama sebelum berlepas untuk menunaikan umrah pada April lalu.

Namun, tidak sampai lima bulan menjadi saudara baharu, ibu Kwai Leng meninggal dunia akibat menderita sakit kencing manis yang kronik dan beberapa komplikasi kesihatan yang lain pada Oktober 2017.

Setelah ibunya pergi, Kwai Leng bertemu jodoh dengan lelaki yang juga seorang mualaf ketika sama-sama menghadiri kelas mendalami agama Islam.

Tambah Kwai Leng, tahun ini merupakan tahun kedua mereka berdua meraikan Syawal sebagai pasangan suami isteri.

“Raya kami ringkas dan sederhana sahaja sebab dalam Islam raya sehari sahaja sudah memadai.

“Apa yang penting adalah kami dapat menunaikan kewajipan kepada Allah SWT dengan lebih sempurna,” katanya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: Mstar