MENGIKAT tali pertunangan pada 25 Februari lalu, pengacara Hlive! Yaya Zahir berkongsi khabar gembira apabila bakal menamatkan zaman bujang dengan jejaka pilihan hatinya, Arriz Azim tahun ini.
Memilih untuk tidak berkongsi butiran majlis bahagianya itu, Yaya bagaimanapun menjelaskan, segala persiapan untuk melangkah ke gerbang perkahwinan sudah hampir lengkap dan tidak sabar untuk menantikan detik indah berkenaan.
“Insya-Allah kalau semuanya dipermudahkan saya bakal bernikah tahun ini. Majlis terbabit tidak diadakan secara besar-besaran kerana hanya dihadiri keluarga dan teman rapat.
“Saya gementar menghitung saat paling dinanti ini. Disebabkan itu saya tidak berani untuk terlalu mengebahkan butiran majlis pernikahan.
“Seboleh-bolehnya saya cuba pastikan majlis yang bakal diadakan berjalan dengan baik tanpa diuji sebarang masalah,” katanya.
Bakal melangkah ke alam perkahwinan pada usia 28 tahun, Yaya tidak pernah rasa bimbang karier seninya akan terkubur seandainya dia bergelar isteri orang. Kata Yaya, dia percaya aturan rezeki dan bersedia berdepan apa sahaja kemungkinan.
“Ada juga terfikir tidakkah terlalu awal berkahwin memandangkan karier baru sahaja bermula. Namun selepas melihat rakan pengacara lain sudah berkahwin, tapi masih diberikan peluang untuk mengacara membuatkan saya lebih yakin dan bulat hati untuk berkahwin.
“Lagipun, saya rasa bidang pengacara tidak sama dengan kerjaya glamor lain. Saya percaya dengan rezeki Allah.
“Tambahan pula, orang kata apabila berkahwin rezeki lebih murah. Mana tahu kerjaya saya lebih berkembang selepas berkahwin,” katanya.
RAIKAN SYAWAL
Ditanya sama ada dia sudah beraya di rumah bakal mentua, Yaya menjelaskan sepanjang 15 tahun berkawan dengan tunangnya yang bekerja sebagai juruterbang, dia tidak pernah menyambut Aidilfitri bersama mereka yang menetap di Kuching, Sarawak.
“Walaupun setiap tahun dia akan mengajak saya ke rumahnya untuk menyambut Aidilfitri, saya menolak secara baik. Bukan apa, saya mahu simpan detik itu apabila kami sudah berkahwin.
“Insya-Allah tahun depan saya bakal menyambut Aidilfitri bersama keluarga mentua. Arriz ada beritahu yang suasana raya di Sarawak sedikit berbeza dari Semenanjung dan sangat meriah,” katanya yang bercuti selama 10 hari sempena lebaran.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: Hmetro