JARANG muncul di kaca televisyen bukan bermakna Intan Ladyana tidak lagi meneruskan karier lakonannya. Intan berkata, dia kini lebih memilih untuk berlakon kerana sejak 2006, dia kerap membawakan watak sama dan kini mengimpikan untuk melakonkan watak membabitkan fizikal contohnya sebagai anggota pasukan beruniform.
Mungkin ada yang tertanya-tanya, andai tidak berlakon adakah Intan menyara kehidupan dengan berniaga? Bagaimanapun, kata wanita berusia 37 tahun ini, dia belum menjalankan perniagaan buat masa ini.
“Perancangan itu ada tetapi saya tidak mahu cakap apa-apa kerana belum pasti. Saya tidak suka bercakap mengenai sesuatu yang belum nampak hasilnya.
“Kalau tidak berlakon pun, saya masih okey. Saya masih memenuhi undangan untuk buat kemunculan pada mana-mana majlis. Saya tidak rasa susah walaupun kurang berlakon,” katanya.
Keputusan untuk memperlahankan rentak seni bukanlah disebabkan saingan daripada pendatang baharu, tetapi lebih kepada menggunakan masa berkenaan untuk memperbaiki kelemahan lakonan.
Menurut Intan, dia banyak menonton drama dan filem sebagai antara cara untuk belajar lebih banyak mengenai teknik lakonan sebagai persiapan untuk watak sedemikian pada masa hadapan.
“Masih banyak watak yang ingin saya lakonkan. Sebab itulah saya putuskan untuk lebih memilih untuk berlakon pada masa ini. Memang sejak dulu lagi pun saya tidak mengambil terlalu banyak tawaran dalam satu masa.
“Jika tidak ada penggambaran, saya akan gunakan untuk menonton drama atau telefilem. Saya bukan menonton untuk berhibur tetapi belajar cara membawakan watak tertentu daripada pelakon terbabit,” katanya yang bakal muncul dengan sebuah lagi karya berjudul Antara Dua Deru yang baharu saja selesai penggambaran sebelum Ramadan lalu.
Intan yang juga bakal tampil dengan filem seram berjudul Town Hall turut bersyukur kerana setakat ini akaun Instagram miliknya masih ‘bersih’ dengan komen negatif daripada warganet.
Kata Intan, dalam membawa diri sebagai anak seni, dia masih mengekalkan identiti dirinya namun perlu waspada dan berhati-hati dalam tutur kata serta perkongsian di media sosial.
“Saya lega kerana pengikut saya di Instagram tidak ada yang memberikan komen negatif. Mereka hanya memberikan aura positif yang sentiasa menyokong dan mendoakan kesejahteraan dan kejayaan saya.
“Bagi saya, cara kita membawa diri itu sangat penting. Ya, memang betul kita mesti jadi diri sendiri tetapi pada masa sama perlu bersih. Kita perlu ikhlas dengan setiap perkara yang kita lakukan,” katanya.
Diusik mengenai kisah cinta, Intan hanya tersenyum dan tegas menyatakan cerita itu adalah untuk simpanan peribadi dan hanya akan dikongsikan apabila tiba masanya.
“Ada atau tiada (teman lelaki), saya tidak mahu kata apa-apa. Kisah peribadi akan menjadi peribadi yang tidak perlu saya kongsikan. Namun, apabila tiba masa sesuai, saya akan berkongsi khabar gembira,” katanya.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: Harian Metro