Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah hari ini berkenan berkongsi pengalaman baginda mengerjakan Haji.
Baginda yang berkenan berangkat ke Kompleks Haji Sepang di sini untuk mengucapkan selamat jalan kepada 483 bakal haji yang akan berlepas ke Tanah Suci, sempat berkongsi pengalaman dalam titah ucapannya.
Dalam titahnya, baginda menceritakan dan sempat berseloroh sudah mengerjakan haji sebanyak tiga setengah kali dan melalui pelbagai peringkat kemudahan dan keselesaan.
“Kali pertama saya ‘naik’ haji semasa berusia 15 tahun, masa itu saya kata haji saya adalah haji ‘ekonomi’ kerana masa itu tidak ada hotel di Makkah dan kami semua duduk di rumah Sheikh.
“Kita kena masak sendiri, basuh baju sendiri dan air diangkat sendiri dari bawah naik ke atas rumah Sheikh.
Kita juga tidur di lantai, dan ketika itu di sekeliling Kaabah masih lagi bertanah dan ada mimbar yang tinggi dan sedikit ‘marble’ untuk kita tawaf dan sa’ie.
“Pada tahun 1992, saya melakukan haji dan saya anggap haji saya kali ini adalah ‘business class’. Kali ini saya duduk di hotel dan berbeza sedikit dengan haji saya yang pertama, lebih selesa sedikit dan tiada ‘complaint’ kerana kena sabar dengan segala dugaan yang kita hadapi. Kali ini juga sudah berbeza, sudah ada tangga untuk kita turun mengambil air di telaga zam-zam.
“Kali ketiga saya tunaikan haji adalah pada musim haji 2006 yang ketika itu adalah haji ‘first class’ saya kerana saya duduk di istana atas bukit. Jadi saya amat bersyukur kerana Allah telah memberi saya merasakan hidup kita dari bawah dan naik ke atas serta merasakan semua.
“Mengenai haji yang saya anggap setengah itu adalah ketika ayahanda saya melakukan haji pada 1960, ibu saya mengandungkan saya dan ketika itu saya berusia enam bulan di dalam perut,” titah baginda pada majlis itu.
Terdahulu, baginda tiba di kompleks itu pada jam 10.30 pagi diiringi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.
Yang turut hadir, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia, Mahmoud Hussien Qattan dan Pengerusi TH, Tan Sri Md Nor Md Yusof.
Pada majlis itu, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah turut berkenan bersalaman sambil mengucapkan selamat jalan kepada jemaah haji penerbangan KT06 yang dijadual berangkat ke Tanah Suci menaiki pesawat Flynas (XY5658) pada jam 2.30 petang ini.
Sementara itu, dalam titah awalnya, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah memaklumkan, baginda mewakili Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang tidak dapat hadir kerana gering di buku lali dan dinasihatkan doktor untuk berehat.
“Saya ingin sampaikan salam Tuanku yang turut minta maaf kerana (baginda) tidak dapat hadir pada pagi ini atas faktor kesihatan. Baginda sampaikan ucapan tahniah kepada semua bakal haji yang terpilih untuk jadi tetamu Allah hari ini.
“Tuanku juga berharap agar semua jemaah haji Malaysia dapat memberi tumpuan dalam melaksanakan semua rukun dan wajib haji yang seperti yang di pelajari semasa kurus,” titah baginda.
Pada tahun ini, seramai 30,200 jemaah Malaysia akan mengerjakan haji yang berangkat ke Tanah Suci dalam 62 penerbangan bermula 4 Julai dan akan berakhir 4 Ogos nanti.
Secara keseluruhan, seramai 640 petugas haji Malaysia akan bertugas sepanjang musim Haji tahun ini, termasuk 255 pegawai dan kakitangan Kementerian Kesihatan serta doktor pakar yang berangkat secara berperingkat ke Tanah Suci sejak 27 Jun lalu.
Dalam pada itu, Mujahid ketika berucap pada majlis itu memaklumkan, hingga kini seramai lebih 2,000 jemaah haji Malaysia sudah tiba di Madinah.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber: BHonline