“Kalau Ayden nampak gambar Aliff, dia akan memanggil ‘daddy daddy’ & Terpaksa Saya Buat Panggilan Video Dengan Aliff

PENYANYI dan pelakon, Bella Astillah, 25, mengakui menutup pintu hatinya untuk menerima cinta daripada mana-mana lelaki buat masa sekarang.

Menurut bekas isteri kepada penyanyi, Aliff Aziz itu, dia kini ingin memfokuskan kepada anak dan karier seninya.

“Hati saya betul-betul tertutup buat masa sekarang. Saya nak tumpukan kepada keluarga sebagai keutamaan dan karier seni.

“Insya-Allah, saya merancang untuk membawa kedua ibu bapa ke Tanah Suci menunaikan umrah pada November ini,” katanya kepada Harian Metro.

Bella atau nama sebenarnya Dayang Nazilah Awang Astillah berkata, kehidupannya kini lengkap bersama keluarga serta anaknya, Mohamad Ayden Adrean, 2.

“Buat masa sekarang, saya tak ada terfikir mengenai lelaki atau ingin memiliki teman lelaki kerana lebih kepada ‘family oriented’.

“Dengan adanya Ayden serta ibu bapa, ini pun sudah cukup lengkap buat saya,” katanya.

Ditanya mengenai keadaan Ayden yang kini berjauhan dengan Aliff, Bella memaklumkan anaknya kerap bertanya mengenai bekas suaminya itu apabila terlihat gambar.

“Kalau Ayden nampak gambar Aliff, dia akan memanggil ‘daddy daddy’. Saya pun tak boleh nak jelaskan kepadanya kerana dia terlalu kecil untuk faham situasi yang berlaku.

“Jadi, setiap kali dia memanggil ayahnya, saya akan buat panggilan video dengan Aliff.

“Apabila dia dah cukup besar untuk faham apa yang berlaku, saya akan jelaskan kepadanya,” katanya.

Bella dan Aliff berkahwin pada 9 September 2016 dan sah berceraai dengan taalak satu pada 16 Mei 2019.

 

Sumber: Harian Metro

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon