Penyanyi popular, Faizal Tahir mahu berehat dari bidang nyanyian buat seketika dan akan kembali menyanyi suatu hari nanti.
Menurut Faizal, tempoh rehat itu tidak bermaksud dia akan bersara dari dunia hiburan seperti yang disangka oleh sesetengah pihak.
“Saya memang mahu rehat seketika dari bidang nyanyian, namun mungkin ada sesetengah pihak yang salah faham dan menganggap saya mahu bersara.
“Anggapan itu mungkin kerana saya telah umumkan album Rojak yang dilancarkan bulan lalu adalah album terakhir saya.
“Itu hanyalah album terakhir, selepas ini, jika saya sudah cukup rehat, saya akan kembali menyanyi dan hanya tampil menerusi single sahaja,” katanya kepada Gempak.
Faizal berkata demikian ketika ditemui di konsert Mingguan Muzik Malaysia (MMM) bertempat di Dataran Merdeka malam Ahad lalu.
Dalam pada itu, Faizal mengatakan dia akan menumpukan lebih perhatian kepada keluarga dan beberapa orang artis yang dikendalikan olehnya dibawah label Faithful Music.
“Saya akan menumpukan lebih perhatian kepada keluarga, luangkan masa bersama anak-anak dan isteri.
“Selain itu, saya juga akan tumpukan perhatian kepada empat orang artis di bawah label milik saya iaitu Sissy Iman, Amir Masdi, Hannah Delisha dan Aziz Harun,” tambahnya.
Konsert MMM telah mendapat sokongan dari Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC), Lembaga Penggalakan Pelancongan Malaysia dan banyak lagi.
Malam itu turut menyaksikan persembahan hebat dari Ratu Rock Negara, Ella, Ayda Jebat dan beberapa artis tempatan yang lain.
Sumber: Gempak