Penyampai radio dan pengacara Fizi Ali memutuskan untuk menolak secara baik tawaran berlakon iklan untuk anak tunggalnya, Ameena Sofia.
Kata Fizi dia enggan bayi kecilnya itu bekerja terlalu awal berbanding usianya.
“Kalau nak diikutkan memang banyak dapat tawaran berlakon drama dan iklan tetapi saya dan isteri merasakan Ameena belum sampai masanya untuk bekerja.
“Saya nak dia membesar seperti kanak-kanak biasa terlebih dahulu.
“Lagipun saya risau dia penat berlakon yang pastinya akan memakan masa yang lama.
“Jadi, buat masa sekarang kami terpaksa menolak dengan baik tawaran yang datang untuk Ameena,” katanya kepada Gempak.
Fizi yang ditemui pada konsert Karisma Jelajah Suria di Central i-City Mall, Shah Alam baru-baru ini menetapkan had umur minimum untuk anaknya mula menceburkan diri dalam bidang seni sekurang-kurangnya berusia setahun.
“Tunggulah dulu Ameena berusia setahun kemudian kita bincang soal tawaran berlakon,” tambah Fizi.
Fizi dan Shakilla Khoriri telah mendirikan rumah tangga pada 18 Februari 2018 dan dikurniakan seorang bayi perempuan, Ameena Sofia yang kini berusia 6 bulan.
Sumber: Gempak