Izin Anak Usia Tujuh Bulan Terima Tawaran Berlakon – Mawar Rashid

PELAKON Mawar Rashid memberitahu dia dan suami, Raf Yaakob bersedia membuka peluang kepada anak mereka iaitu Raden Muhammad Rafael menceburi dunia glamor dalam usia masih muda.

Menurut Mawar, 24, sebagai seorang selebriti, dia mengharapkan agar bayi lelaki berusia tujuh bulan itu mengikut jejak langkahnya dan meminati bidang yang sama.

“Mawar okay sahaja kalau Rafael terbabit dengan bidang ini sebab saya dan Raf memang dari keluarga seni dan sokong apa sahaja minat anak.

“Sejujurnya saya suka kalau anak berlakon… mungkin sebab saya terlalu mencintai bidang seni dan bakat yang saya ada ini datang dari emak yang juga merupakan seorang model dan pelakon di Thailand, jadi darah seni itu sudah mengalir.

“Kalau dalam masa terdekat ada orang tawarkan peluang untuk Rafael berlakon atau sebagainya, saya anggap itu rezeki dia. Cumanya, apabila dia sudah besar nanti dia berhak untuk tentukan apa minatnya,” katanya kepada mStar.

Mawar dan suami beri kebebasan untuk anak tentukan minat mereka.

Dalam usaha mendekatkan anaknya dengan dunia seni, Mawar berkata dia kerap membawa anak-anak ke set penggambaran.

Ini secara tidak langsung dapat mengajar mereka mengenai kehidupan dan kerjaya sebagai pelakon.

“Kebiasaannya, kalau waktu rehat Raf akan datang bawa anak ke set penggambaran. Sebelum Rafael lahir lagi, Raf memang selalu bawa dua lagi anak kami iaitu Rayyan dan Raysaa melihat tempat shooting.

“Memang saya galakkan sebab mahu mereka lihat sendiri cara kami bekerja dan mengajar mereka bergaul dengan pelbagai orang supaya lebih cepat matang dan terbiasa dengan suasana kerja sebagai seorang pelakon,” ujarnya.

Bercakap mengenai karier lakonan, Mawar berkata selepas dua tahun berehat, dia akhirnya muncul dalam telefilem terbaharu berjudul Penaklukan Syaitan.

“Sebenarnya, sudah hampir dua tahun saya tidak berlakon. Saya mendirikan rumah tangga, selepas itu melalui proses kehamilan dan kini sudah mempunyai seorang anak.

Mawar kerap membawa anak-anak ke set penggambaran.

“Kini, anak sudah menginjak usia tujuh bulan dan saya sudah bersedia untuk kembali menerima tawaran lakonan. Saya juga tak risau kerana ibu membantu untuk menjaga anak saya.

“Alhamdulillah, saya kembali ke set penggambaran menerusi telefilem seram yang telah ditayangkan pada Sabtu lalu di slot Citra Eksklusif berjudul Penaklukan Syaitan arahan Michael Ang,” ujarnya.

Terdahulu, Mawar dan Raf atau nama sebenarnya Raden Ahmad Faizal Yaakob mendirikan rumah tangga pada 9 November 2017.

Pasangan ini  dikurniakan cahaya mata lelaki bernama Raden Muhammad Rafael pada 13 Mac lalu.

Untuk rekod, Mawar mempunyai dua orang anak tiri, Raden Ahmad Rayyan, 8, dan Raden Seri Raysaa Chanela, 4, hasil perkahwinan Raf bersama bekas isteri.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: mStar