TELATAHNYA begitu mencuit hati netizen.
Melihatkan gaya malu-malu kucingnya dengan senyuman yang tidak lekang di bibir, serta merta membuatkan hati netizen cair.
Itulah gerangan murid comel bernama Maisarah Ilham, 9, seorang pelajar kelas pendidikan khas di sebuah sekolah rendah di Sandakan, Sabah.
Video pelajar comel tahun tiga yang dimuat naik gurunya di Twitter diulang kicau (retweet) melebihi 14,000 kali selain dihujani dengan komen netizen.
Berkongsi cerita dengan mStar, guru tersebut, Muhamad Fazri Hassan berkata, Maisarah merupakan salah seorang muridnya yang didiagnosis mengalami lewat perkembangan menyeluruh atau GDD (Global Developmental Delay).
“Saya mengajar subjek Pendidikan Jasmani dan kemahiran manipulatif di kelas Maisarah, di kelas itu ada tujuh pelajar termasuk Maisarah.
“Sungguhpun Maisarah agak comel, tapi di dalam kelas dia seperti seorang kakak kepada rakan-rakannya yang lain kerana dia seorang yang aktif,” katanya.
Perkongsian Fazri di Twitter mendapat perhatian netizen.
Bercerita lebih lanjut, guru berusia 26 tahun itu berkata, Maisarah seorang yang pemalu apabila berhadapan dengan kamera seperti yang boleh dilihat menerusi video yang dimuat naik baru-baru ini.
“Dia memang pemalu. Tapi sebenarnya dia seorang yang banyak bercakap dengan orang yang dia selesa. Dia seperti kanak-kanak lain juga, cuma pergerakannya sedikit perlahan memandangkan dia bertubuh kecil.
“Saya muat naik video Maisarah sekadar mahu berkongsi dengan orang di luar sana mengenai dunia pendidikan khas. Murid-murid yang ditempatkan di dalam kelas ini mempunyai keistimewaan masing-masing, antaranya masalah GDD, pertuturan dan kognitif,” kata Fazri.
Sungguhpun bertubuh kecil, ujar Fazri, Maisarah pernah mewakili sekolahnya dalam acara larian 4×100 meter kategori pendidikan khas daerah Sandakan.
Graduan IPG Kota Bharu ini sudah hampir dua tahun bertugas sebagai guru Pendidikan Khas.
“Maisarah menunjukkan perkembangan dari semasa ke semasa, sejak dia mula bersekolah di sini setahun yang lalu. Dia semakin aktif kerana dia sukakan aktiviti fizikal.
“Kami sebagai guru-guru pendidikan khas sememangnya menekankan aktiviti ataupun terapi fizikal, contohnya seperti menunggang kuda dan berenang untuk merangsang pergerakan fizikal masing-masing,” ujarnya yang sudah hampir dua tahun bertugas sebagai guru pendidikan khas.
Saya muat naik video Maisarah sekadar mahu berkongsi dengan orang di luar sana mengenai dunia pendidikan khas. Murid-murid yang ditempatkan di dalam kelas ini mempunyai keistimewaan masing-masing, antaranya masalah GDD, pertuturan dan kognitif
MUHAMAD FAZRI HASSAN
GURU PENDIDIKAN KHAS
Ujar graduan bidang Pendidikan Khas dari Institut Pendidikan Guru (IPG) Kota Bharu ini lagi, menjadi seorang guru pendidikan khas sememangnya berdepan dengan cabaran yang bukan calang-calang.
“Cabarannya mungkin dari segi bagaimana mahu memenuhi keperluan setiap murid. Walaupun kelas yang saya ajar ini hanya terdiri daripada tujuh murid, namun keperluan setiap murid itu adalah berbeza.
“Jadi agak sukar untuk seorang guru memenuhi keperluan murid yang istimewa ini serentak. Jadi kena pandai uruskan masa, supaya ilmu itu sampai kepada murid tersebut dan dalam masa yang sama, murid lain tidak terabai.
“Saya bersyukur kerana berpengalaman menjadi sukarelawan bagi orang kurang upaya sebelum ini. Lagi pula, bidang pendidikan khas ini adalah pilihan saya kerana mahu mencuba sesuatu lain daripada biasa,” akhiri Fazri.
Lihat siaran ini di Instagram
Apa Kata Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!!
Jom Like Page Kami Juga Di Facebook
Sumber: mstar