“Saya bukan hidup senang, gaji pun tak cukup. Jadi, tak mampu nak hantar anak-anak pergi tuisyen”

SEMAKIN ramai yang melakukan dua kerja atau lebih pada satu masa demi mencari rezeki bagi menyara kehidupan sekeluarga, termasuklah bapa kepada empat anak ini yang pada sebelah siang bekerja di sebuah kilang dan berniaga di gerai pada waktu malam.

Menerusi perkongsian yang tular di media sosial, turut menarik perhatian adalah hidangan yang dijualnya di gerai hanya berharga antara RM1 dan RM2!

Lelaki berkenaan, Syed Mohd Faizal Syed Shabthar, 37, berkata, dia bekerja di sebuah kilang di Sungai Petani, Kedah, dengan pengalaman sebagai juruteknik selama tiga tahun.

Katanya, sebelum ini pelbagai pekerjaan dilakukannya termasuk menjadi operator pengeluaran di sebuah kilang.

“Gaji pokok yang diterima saya setiap bulan adalah kecil berbanding dengan komitmen sedia ada. Jadi, saya perlu mencari sumber pendapatan lain untuk menyara kehidupan sekeluarga.

“Siang saya kerja di sebuah kilang dan sebelah malam pula saya dan isteri akan berniaga di gerai,” ujar anak jati Alor Setar ini kepada mStar.

Rutin harian Syed Mohd Faizal yang menetap di Taman Teluk Baiduri bermula seawal pukul 7 pagi untuk menghantar dua anaknya ke sekolah, sebelum masuk bekerja pada pukul 8 pagi.

Nasi lemak antara yang dijual di gerai.

“Saya habis kerja kira-kira pukul 5.30 petang dan terus pulang ke rumah yang hanya lima minit perjalanan dari tempat kerja dengan menunggang motosikal.

“Sampai di rumah, saya solat dahulu sebelum membantu isteri membuat persiapan untuk membuka gerai di hadapan rumah. Lepas tu keluar semula ambil anak habis sekolah sesi petang dan kemudian berniaga di gerai dari pukul 6.30 petang sampai pukul 11.30 malam,” katanya yang turut membuat penghantaran makanan sekiranya menerima tempahan di kawasan sekitar.

Menurut Syed Mohd Faizal, dia menjual nasi lemak, nasi tomato berlauk ayam masak merah atau daging hitam serta hidangan barat lain iaitu chicken chop dan bebola daging.

“Nasi lemak dijual RM1. Set chicken chop dijual serendah RM3, lengkap dengan kepingan ayam, kentang goreng, coleslaw, salad, ada mayonis berserta sos cili dan sos lada hitam.

“Kami jual murah, jadi untungnya tak besar. Dapat untung antara RM20 dan RM30 sehari pun syukur Alhamdulillah sebab ada masa jualan tak menentu terutama hujan lebat,” katanya.

Chicken chop dijual serendah RM3.

Syed Mohd Faizal turut berkongsi pengalaman diduga dengan kebimbangan melampau atau anxiety disorder pada Oktober tahun lalu sehingga tiada selera makan dan sukar untuk tidur.

“Saya jadi takut yang teramat sangat dalam diri. Sampai rasa adakah saya nak mati? Mungkin disebabkan oleh tekanan kerja dan masalah peribadi ketika itu.

“Jadi, saya banyakkan bersolat, baca surah Yasin dan melakukan rawatan perubatan Islam dan mendapatkan nasihat daripada banyak pihak. Alhamdulillah masalah itu dapat diatasi,” katanya.

Syed Mohd Faizal mengusahakan gerai bersama isterinya, Jaleha Kuntom.

Dia bagaimanapun turut menjelaskan bahawa membuat dua kerja dalam satu masa bukan beban, malah dia mengambil tanggungjawab sebagai bapa dengan meluangkan masa bersama anak-anak dan melihat perkembangan mereka terutama dari segi pelajaran.

“Saya bukan hidup senang, gaji pun tak cukup. Jadi, tak mampu nak hantar anak-anak pergi tuisyen. Tapi saya akan pastikan mengambil perhatian terhadap pelajaran mereka.

“Siapa yang senasib dengan saya ni kena hati cekal, kena tabah. Dan walau apapun terjadi, kita kena bertanggungjawab dan kuatkan semangat bukan sahaja untuk diri sendiri, tapi demi isteri dan anak-anak,” kata Syed Mohd Faizal.

Sumber : MSTAR ONLINE