GARA-GARA tidak mengendahkan teriakan anak, suami kepada pelakon Lufya iaitu Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum terus menerima kecaman hebat daripada netizen di laman sosial.
Sekali lagi tampil mempertahankan diri berhubung dakwaan segelintir pihak yang kononnya dia mengabaikan tanggungjawab sebagai bapa, Dr Che Hafiz berkata dia terlalu menyayangi Laana Haura, 2, dan memohon maaf kepada puterinya itu di atas kekhilafan tersebut.
“To my love one Laana Haura. Daddy minta maaf sangat sebab tak perasan langsung panggilan daripada kamu sayang. Jika difikirkan secara waras bapa mana di atas dunia ni tak sayangkan anak mereka.
“Sedangkan binatang seperti singa betina yang ganas pun tetap tahu nak menyayangi anaknya, apatah lagi manusia yang diberikan kelebihan otak yang mempunyai akal,” katanya menerusi Instagram.
Dr Che Hafiz mengulas mengenai rakaman video yang disiarkan mStar memaparkan situasi di luar mahkamah yang memperlihatkan Dr Che Hafiz hanya berjalan ditemani beberapa pengawal tanpa mengendahkan tangisan anaknya.
Menjelaskan situasi yang berlaku, Dr Che Hafiz berkata dia tidak mendengar panggilan dan tangisan anaknya itu kerana terkejut apabila dihampiri sekumpulan wartawan di perkarangan mahkamah.
“Gambar-gambar yang saya muat naik itu ada babak-babak ketika saya berada di mahkamah, kalau diperhatikan dalam gambar-gambar tersebut saya sedang meluangkan masa bersama anak saya sampailah dia pergi kepada ibunya.
“Selepas itu baru saya keluar dari mahkamah, sejurus keluar ramai jurukamera dan wartawan menyapa, saya memang faham itu tugas mereka.
“Ketika itu hanya kedengaran bunyi flash kamera dan fikiran saya saat itu adalah untuk bersedia dengan soalan yang bakal wartawan tanya… maklumlah saya rasa nervous sebab ini adalah kali pertama seumur hidup saya berada dalam situasi di mahkamah,” ujarnya.
Sementara itu, Dr Che Hafiz berkata dia sedar tindakannya itu akan menimbulkan rasa kurang senang sesetengah pihak terutamanya mereka yang sudah berkeluarga.
Dr Che Hafiz sempat meluangkan masa bersama anaknya sambil diperhatikan Lufya sebelum keluar daripada mahkamah.
“Sebenarnya saya memang prihatin dan faham perkara sebegini akan menjadi perhatian ramai orang apatah lagi ia membabitkan sentimen anak kandung sendiri.
“Isu ini juga menjadi sangat sensitif dan ia boleh membangkitkan kemarahan ramai pihak terutama kepada mereka yang sudah berkahwin atau berkeluarga dan mempunyai anak.
“Jadi apa yang saya ingin jelaskan di sini adalah berkenaan dengan dakwaan seperti tidak sayangkan anak dan lain-lain adalah tidak benar. Malah saya dihalang dan tidak diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai bapa,” katanya.
Kemelut rumah tangga Lufya Omar terus berpanjangan apabila suaminya, Dr Che Hafiz enggan menceraikan isterinya itu.
Sehubungan itu Mahkamah Rendah Syariah Subang Bestari di Petaling Jaya memerintahkan pasangan itu melantik ahli jawatankuasa pendamai (JKP) dalam kes penceraian berkenaan.
Sebelum ini Lufya atau nama sebenarnya Lutfyah Sheikh Omar, 34, selaku plaintif memfailkan permohonan cerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Lufya dan Dr Che Muhammad Hafiz mendirikan rumah tangga pada 26 November 2016.
Sumber : MSTAR ONLINE