SEJAK mengalamai komplikasi membuang air kecil pada 2016, tahap kesihatan seniman tersohor, Datuk M Daud Kilau semakin merosot.
Sejak dari tempoh itu, Raja Gelek negara itu sudah tidak mampu lagi menghiburkan orang ramai, kudratnya makin terbatas.
Lantaran keuzuran itu juga, penghibur berusia 81 tahun itu lebih banyak menghabiskan masa di rumah selain memberi fokus pada usaha memulihkan penyakitnya.
“Saya hanya mahu menghabiskan sisa hidup ini, berapa lama lagi Allah bagi saya,” kata penyanyi yang sangat masyhur dengan lagu Cek Mek Molek ini lagi.
Wajah terbaharu seniman M Daud Kilau yang kini menghabiskan masa di rumahnya di Bagan Datoh, Perak. – Gambar Facebook Perak Gazette
Memetik laporan Perak Gazette, M Daud berkata, pada masa ini, beliau menerima rawatan susulan antara dua atau tiga minggu sekali sama ada di klinik atau hospital.
“Saya juga menghidap sakit kencing manis, kebas kaki dan tangan serta pinggang yang rasanya sakit sangat.
“Saya dah tak larat nak berdiri dan bergelek di atas pentas lagi. Tak boleh nak buat persembahan lagi,” kata M Daud meluahkan penderitaan yang ditanggung.
Lantaran kudrat yang tidak mengizinkan, M Daud terpaksa menolak banyak tawaran menyanyi biarpun hanya dikehendaki duduk di pentas sambil menyanyi.
“Saya dah tak mampu bergelek lagi,” kata M. Daud Kilau. – Gambar Facebook Perak Gazette
Beliau yang menetap di kampung halamannya, Kampung Sungai Balai, Bagan Datoh, Perak pernah mengusahakan tanaman kelapa matag dan koko.
“Namun tanaman yang saya usahakan tak menjadi sebab saya dah tak larat. Saya berharap peminat mendoakan kesihatan saya.
“Setiap kali kalau rindukan peminat, saya tatap koleksi baju labuci yang masih saya simpan dengan rapi,” tambah M Daud lagi
Sumber : ASTRO AWANI