Safawi Rashid, satu nama yang tidak asing lagi dalam dunia bola sepak tempatan. Nama beliau bukan sahaja dikenali dalam Malaysia malahan di luar negara juga nama Safawi Rashid amat dikenali. Baru baru ini beliau membawa kemenangan untuk Malaysia apabila berjaya menumpaskan Garuda Indonesia 2-0 di Stadium Bukit Jalil.
Nama Safawi Rashid Digugurkan Dari Skuad Sukan SEA
HERO Harimau Malaya, Safawi Rasid berterima kasih kepada pengendali skuad bawah 22 tahun (B-22) negara, Datuk Ong Kim Swee kerana menggugurkan namanya daripada senarai pemain bagi menghadapi Sukan SEA 2019 di Filipina hujung bulan ini.
Bintang Johor Darul Ta’zim (JDT) itu mengakui dia berasa penat untuk beraksi selepas terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat sepanjang tahun ini, baik ketika menyarung jersi kelabnya mahupun skuad negara.
“Tahun ini saya banyak game (perlawanan), dari awal tahun sampai sekarang baru break (rehat). Saya berterima kasih kepada ketua jurulatih (Kim Swee) bagi saya rehat,” katanya ketika ditemui di Dungun hari ini.
Safawi berkata, meskipun tanpa kehadirannya dalam skuad B-22 negara, dia percaya masih ramai pemain muda berbakat yang boleh mengisi kekosongan tersebut dan meraih kejayaan pada Sukan SEA kali ini.
“Saya percaya rakan-rakan yang dipanggil menyertai skuad B-22 negara mampu menggalas tugas dan tanggungjawab mereka dengan baik. Ini perluang terbaik buat mereka membuktikan kemampuan masing-masing,” ujarnya.
Terdahulu, Kim Swee dengan berat hati terpaksa menggugurkan Safawi yang baru dinobatkan Pemain Paling Bernilai (MVP) pada Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK) 2019 demi kebaikan pemain sayap lincah JDT itu.
Safawi bukan pertama kali diketepikan Kim Swee
Pengguguran Safawi mendapat pelbagai reaksi positif dan negatif oleh peminat dan penyokong bola sepak tempatan, namun sebagai jurulatih, Kim Swee hanya mahukan yang terbaik buat pemain berusia 22 tahun kelahiran Dungun, Terengganu itu.
“Kita dapat lihat Safawi kini berada pada tahap berbeza dan ini bukan sahaja daripada hasil usaha barisan jurulatih tetapi keyakinan diri Safawi sendiri dan kesungguhan dia yang telah membawanya ke tahap cukup baik ini.
“Dalam sesi latihan, dia fokus kepada setiap situasi tetapi yang memberi kelebihan sudah tentu sepakan percumanya yang mana dia mempunyai kesungguhan untuk berlatih (sepakan percuma) setiap hari selepas tamat latihan.
“Apabila kita berlatih dengan baik ketika sesi latihan, ia akan berlaku serta ‘menjadi’ dalam setiap perlawanan,” jelas Kim Swee.
Sumber : ASTRO AWANI