Video yang memaparkan seorang anak ingin membuat kejutan kepada ayahnya namun tidak kesampaian apabila insan yang disayanginya itu meninggal dunia mengundang kesedihan netizen.
Seorang pengguna Facebook menggunakan nama I’m okay yang memuat naik video itu menunjukkan seorang pemuda dan keluarganya sedang dalam perjalanan ke rumah ayahnya untuk membuat kejutan sempena Hari Bapa.
Lelaki tersebut yang telah membuat segala persiapan dan rancangan untuk memberi kejutan pada ayahnya itu turut membuat Vlog bagi merakamkan detik-detik yang sepatutnya berakhir dengan kegembiraan.
Namun setibanya di rumah, dia mendapati ayahnya telah meninggal dunia dan jasadnya terbujur kaku di atas katil menyebabkan dirinya tersentak lalu meraung kesedihan sambil memegang belon yang pada awalnya ditujukan untuk insan yang disayanginya itu.
Video berdurasi 10 minit itu kini tular di media sosial dengan 1.6 juta tontonan dan 75,000 meninggalkan tanda sedih.
Rata-rata netizen bersimpati dengan kejadian yang menimpa pemuda tersebut dan mengharapkan dia dapat bersabar atas kehilangan orang tersayang.
“Pilu hati saya melihat vlog ini. Saya juga mempunyai reaksi yang sama apabila ayah saya meninggal dunia Julai 2011 disebabkan kanser.
“Saya amat merindui ayah saya. Dia telah pergi namun sukar untuk dilupakan. Salam takziah buat diri awak dan keluarga,” luah Gem Takagi di Facebook.
Hajat tak kesampaian
Joshua Gabriel pula menulis, “Inilah sebab kita perlu menghargai ibu bapa kita yang telah melakukan segalanya untuk membuat kita gembira tetapi sekarang masanya untuk kita membuatkan mereka gembira yang boleh membanggakan diri mereka. Terharu saya tengok vlog ini.”
Sumber : SINAR HARIAN