SELEPAS kisah perkahwinannya terpalit kontroversi, kini wanita yang juga isteri kepada seorang pendakwah bebas sekali lagi kecoh diperkatakan di media sosial.
Terbaharu satu halaman Facebook muncul dengan pendedahan mengejutkan apabila wanita itu didakwa menyalahgunakan gelaran doktor (Dr).
Menerusi paparan skrin ruangan bio Instagram wanita itu di posting tersebut mendapati pengguna akaun drholis@wc mendakwa dirinya sebagai pakar neurologi.
Pendedahan di halaman Facebook Penolong Pegawai Perubatan pada malam Jumaat itu dibuat selepas kiriman mesej daripada seorang individu diterima berhubung status wanita tersebut.
“Menerusi kiriman gambar yang diterima, wanita itu mengatakan bahawa dia adalah Neurologist yang mana di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Neurologist merujuk kepada pakar perubatan di bawah bidang Neurofisiologi yang mana merupakan bidang yang mengkaji bahagian otak, tulang belakang dan kajian saraf di dalam tubuh badan seorang manusia,” demikian menurut posting itu.
Maklumat pada bio Instagram pengguna akaun tersebut sudah dipadamkan.
Namun menerusi pencarian di laman sesawang Majlis Perubatan Malaysia (MMC) nama wanita itu tiada dalam pangkalan data tersebut.
“Menerusi pencarian di dalam laman sesawang MMC di mana semua doktor perubatan bertauliah dan berdaftar dengan KKM akan terlihat perihal biodata mereka.
“Tetapi nama pengguna tersebut tiada di dalam database tersebut yang mana kemungkinan beliau menyamar atau menyalahgunakan title profesion di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Semakan nama di website MMC, 0 record found,” katanya.
Menurut posting itu lagi, perbuatan itu merupakan satu kesalahan di bawah Akta 774, Akta Profesion Kesihatan Bersekutu 2016 Undang Undang Malaysia.
Berdasarkan akta tersebut, individu yang melakukan kesalahan itu boleh didenda tidak melebih RM50,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebih dua tahun atau kedua-duanya.
“Ia perkara serius yang perlu dititikberatkan kerana profesion di bawah KKM bukanlah perkara yang boleh dipandang enteng mereka terlibat secara langsung dalam memberikan rawatan dan menyelamatkan nyawa (dengan izinNya) manusia.
Maklumat berkaitan akta atas kesalahan menyamar sebagai pengamal perubatan berdaftar.
“Penyamaran atau Kesalahan Menggunakan Profesion Kesihatan di bawah KKM boleh memudaratkan kesihatan dan mengancam nyawa seseorang kerana dikhuatiri masyarakat akan mempercayai perkara yang mereka katakan dan lakukan yang bercanggah dengan “Standard Operating Procedure (SOP)” dan “Clinical Practice Guideline (CPG)” di bawah KKM,” katanya.
Hasil penelitian mStar mendapati pemilik akaun itu sudah pun memadamkan maklumat pada bio Instagramnya.
Juara Da’i musim kedua, Nik Ahmad Farhan Nik Mohamad, 29, merupakan salah seorang pengikut akaun Instagram tersebut.
Sumber: Mstar Online