BEKAS penyanyi utama kumpulan Visa yang juga peserta program Gegar Vaganza musim keenam (GV6), Roshisham Hashim atau Sham menyifatkan tuduhan netizen yang mengatakan dia dan Naqiu menjalin hubungan terlarang sebagai keterlaluan serta tidak masuk akal.
Tegas Sham, mereka yang melemparkan tuduhan terbabit mungkin melakukan perkara terkutuk itu atau datang dari keluarga yang kurang kasih sayang.
Sham yang ditemui di sidang media konsert GV6 minggu kesembilan berkata, dakwaan itu sangat mengaibkan. Apatah lagi, dia dan bekas penyanyi kumpulan Boboy itu sudah berkahwin dan mempunyai cahaya mata.
“Mereka langsung tidak sensitif. Apabila fitnah sebegitu disebarkan ia turut memberi implikasi kepada keluarga kami,” katanya.
Sham mempersoalkan adakah satu kesalahan sekiranya dia menunjukkan kasih sayang seorang abang kepada adik. Tambahan pula mereka sudah lama kenal sejak Naqiu masih bersama kumpulan Boboy lagi.
“Sekarang kami jadi lebih akrab apabila bernaung di bawah pengurusan sama iaitu Mind Order Sdn Bhd dan sama-sama berjuang di pentas GV,” katanya.
Dakwaan itu timbul apabila Sham dan Naqiu sering dilihat berpelukan apabila berjaya mara ke minggu seterusnya sepanjang GV6 berlangsung. Bahkan apabila Sham mencium pipi Naqiu apabila dia diumumkan juara konsert mingguan membuatkan isu itu semakin hangat diperkatakan.
Gambar kemesraan mereka yang tular turut menjadi pencetus fitnah terbabit.
Sementara itu, Naqiu berkata dia tidak boleh bertolak-ansur dengan dakwaan itu apatah lagi sudah mempunyai lima anak.
“Saya hanya mampu ketawa apabila mereka buat tuduhan berdasarkan keakraban kami.
“Saya menghormati Sham sebagai abang dan dia banyak memberikan sokongan serta dorongan walaupun kami sama-sama bertanding,” katanya.
Sambung Naqiu lagi, lebih 15 tahun dia mengenali Sham malah diawal kemunculan dulu dia sering berlatih di studio milik Sham.
“Mungkin orang tidak tahu sejarah bagaimana kami boleh kenal rapat. Apa yang mereka nampak hanya situasi sekarang dan menyebarkan fitnah. “Apapun, saya mengucapkan terima kasih kepada mereka. Dakwaan itu petanda mereka suka dan sayangkan kami sehingga segala tingkah-laku kami dalam GV mahupun di luar menjadi perhatian. Jarang kami mendapat perhatian sedemikian rupa sebelum ini,” katanya.
Sumber : HMETRO ONLINE