Ahmad Dhani bebas, mahu tunai janji

“ASSALAMUALAIKUM…tunggu Dewa 19 bersama saya,” kata penyanyi popular Indonesia, Ahmad Dhani menerusi kiriman video yang dihantar pengurusnya, Iman Tang kepada Harian Metro selepas dibebaskan dari Penjara Cipinang, Jakarta Timur sekitar jam 9.30 pagi hari ini.

Pengasas kumpulan Dewa 19 serta komposer berbakat besar bernama sebenar Dhani Ahmad Prasetyo, 46, ini dihukum penjara 18 bulan pada 28 Januari lalu selepas didapati bersalah menyebarkan mesej kebencian di Twitter.

Tang yang turut berada di sana bagi menyambut pembebasan Ahmad Dhani berkata, peminat sudah menunggu seawal pagi di luar bangunan penjara berkenaan.

“Alhamdulillah penahanannya mengikut tempoh dan selepas ditolak cuti, dia akhirnya dibebaskan.

“Sepatutnya tarikh pembebasan pada Sabtu 28 Disember, tetapi memandangkan jatuh pada hari cuti ia ditunda pada hari ini.

“Peminat yang menunggunya tidak mencetuskan apa-apa kekacauan kecuali menjerit-jerit melaungkan namanya serta menaikkan sepanduk dan kain rentang sebagai tanda sokongan,” katanya.

Menurutnya, wakil media Indonesia juga tidak ketinggalan membuat liputan peristiwa yang dianggap bersejarah ini.

“Reaksi yang ditunjukkan oleh Ahmad Dhani amat positif. Dia bersyukur dapat menjalani hukuman dengan baik dan gembira kerana dapat menyambut kehadiran tahun baru bersama keluarga.

“Paling mengujakan apabila dia berkata tidak sabar untuk ke Malaysia kerana gagal datang ketika Konsert Dewa 19 Reunion Live in Malaysia yang berlangsung di Stadium Malawati, Shah Alam, 2 Februari lalu.

“Ahmad Dhani menganggap dia masih berhutang dengan peminat di negara ini dan sedang mencari tarikh yang sesuai untuk kembali ke Malaysia,” katanya.

Ditanya berkenaan ideologi politik, Tang memberitahu Ahmad Dhani tetap akan meneruskan perjuangan politiknya seperti sebelum ini.

“Ia akan tetap berjalan tetapi dia mengakui akan mengikut lunas undang-undang. Apa yang berlaku akan dijadikan oleh pengajaran olehnya,” katanya.

Sementara itu portal dalam talian, Tribunnews.com melaporkan, biarpun dijadualkan dibebaskan jam 10 pagi, peminat Ahmad Dhani sudah mula berkumpul di luar Penjara Cipinang sejak jam 7.30 pagi lagi.

Bahkan satu lori besar turut dibawa bersama dengan diletakkan kain rentang bertulis Bebasnya Sang Pengujar Kebenaran.

Manakala isterinya Mulan Jameela tiba sekitar jam 7.40 pagi dan terus masuk ke Penjara Cipinang untuk bertemu suaminya.


Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

          Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

          Sumber: METRO