Makin Canggih, Sekolah Rendah Di Johor Ini Guna Teknologi Pengimbasan Wajah Rekod Kehadiran Murid

JOHOR BAHRU, 1 Jan (Bernama) — Sekolah Kebangsaan Taman Perling, di sini, mengambil pendekatan berbeza pada musim persekolahan baharu tahun ini apabila memperkenalkan penggunaan sistem pengimbas wajah untuk merekod kehadiran pelajar, guru dan kakitangan sekolah itu.

Guru Besar sekolah itu Zamri Abd Wahab berkata aplikasi terkini itu digunakan supaya dapat melancarkan pengurusan seharian sekali gus mengurangkan beban kerja guru.

“Kami sentiasa terbuka untuk gunakan teknologi terkini selaras dengan pembelajaran abad ke-21,” katanya ketika ditemui pada hari pertama persekolahan di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Zamri yang telah empat tahun berkhidmat di sekolah itu berkata sekolah itu merupakan yang pertama di negeri ini menggunakan sistem itu dan diharapkan dalam masa yang sama dapat menarik minat murid untuk mendekati atau mempelajari teknologi maklumat (IT).

Data yang direkodkan melalui sistem itu akan terus dimuat naik ke Aplikasi Pangkalan Data Murid (APDM), yang bukan sahaja mengandungi rekod kehadiran murid tetapi juga maklumat peribadi mereka.

SK Taman Perling mempunyai sebanyak 1,034 murid yang termasuk prasekolah dan kelas pendidikan khas membabitkan dua sesi persekolahan serta 76 guru dan 12 kakitangan pengurusan dan sokongan.

Zamri berkata sistem itu yang menelan kos ribuan ringgit disumbangkan oleh sebuah badan pertubuhan bukan kerajaan, Myrahub Foundation.

Pada masa depan, beliau berharap sistem yang sama dapat diguna pakai untuk merekod kehadiran ibu bapa serta pelawat yang dapat meningkatkan aspek keselamatan.- BERNAMA

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber: