Pelakon Mawar Rashid mendedahkan bahawa dia pernah bekerja dalam bidang peruncitan di sebuah butik di ibu kota sejurus tamat persekolahan.
Mawar, 25, berkata, ketika itu, individu yang banyak berjasa membantunya bagi mendapat pekerjaaan ialah Kak Intan yang merupakan anak ketiga dalam keluarganya.
“Memang tersentuh hati bila teringat. Masa baru lepas habis SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), Kak Intan tolong carikan tempat kerja sebab nak adik ada duit.
“Jadi kami kerja sama-sama di Parkson, Pavilion. Masa tu Kak Intan belikan kasut hitam, baju hitam (pekerja Parkson kan kena pakai serba hitam).
“Walaupun duit kakak cukup-cukup makan, tapi kakak masih belikan adik,” ceritanya yang mengimbau kehidupan lampaunya menerusi satu entri yang dimuat naik di Instagram.
Menurut Mawar lagi, bagaimanapun, itu semua sudah menjadi kenangan terindah buat dia dan kakaknya.
Hari ini, katanya, dia mahu membalas semula jasa baik yang pernah dilakukan oleh kakaknya itu yang banyak berkorban demi keluarga.
Katanya, atas sebab itu jugalah dia mahu menjalankan bisnes dengan adik beradiknya yang lain.
“Selama 10 tahun kakak kerja pagi sampai malam untuk bayar komitmen macam-macam, untuk mummy lagi. Jadi, kakak tak dapat betul-betul merasa jadi seorang ibu dan isteri di rumah.
“Sebab itulah adik memang niat nak buat bisnes yang boleh tarik semua kakak-kakak dengan abang adik untuk senang sama-sama,” katanya yang juga kini merupakan seorang usahawan kosmetik.
Mawar atau nama sebenarnya, Wan Mawar Shaputri Wan Abdul Rashid mula dikenali selepas menyertai program Dewi Remaja 2014/2015.
Pelakon drama TQ Captain itu kemudian mendirikan rumah tangga dengan Raf Yaakob dan dikurniakan seorang cahaya mata, Raden Muhammad Rafael yang kini mencecah usia setahun.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!