KEUNIKAN pasar terapung di Pulau Suri yang terletak di gugusan pulau di Kuala Besar, Kota Bharu, Kelantan menjadi tumpuan pelancong dalam dan luar negara untuk merasai suasana pasar atas air serta pelbagai aktiviti lain.
Sejak dibuka pada 2016, pasar terapung di perkampungan nelayan itu menjadi antara tarikan dengan menawarkan pelbagai produk setempat termasuk makanan enak seperti kerabu nipah, lokan dan ketam nipah.
Selain itu, ia juga menawarkan pelbagai aktiviti termasuk berkayak dan menghayati kehidupan penduduk kampung seperti memetik kelapa menggunakan beruk, pembuatan arang tempurung, mencanting batik serta pembuatan bot nelayan.
Pelancong yang mahu berkunjung ke Pasar Terapung Pulau Suri boleh berbuat demikian dengan menaiki bot di Jeti Kok Majid, di Tumpat dengan tempoh perjalanan kira-kira 40 minit dan jeti Kuala Besar di sini yang hanya mengambil masa kira-kira 15 minit.
Kekalkan ciri-ciri tradisional
Namun, jika anda sukakan cabaran boleh menyewa kayak untuk mendayung ke pasar berkenaan yang mengambil masa kira-kira 45 minit.
Pulau Suri terletak dalam gugusan kira-kira 30 pulau dan dinamakan sempena nama seorang wanita yang pernah tinggal di pulau itu.
Lokasi itu masih mengekalkan ciri-ciri tradisional dan keunikan perkampungan nelayan yang jarang dilihat kini. Pulau itu juga berdekatan dengan pantai dengan pasir memutih dan belum terusik dengan arus pembangunan.
ZAKARIA Jali, menunjukkan kuih tradisional Kelantan, gabungan akok dan bahulu yang diberi nama ‘koklu’ di jual di pasar terapung Pulau Suri. – Foto Nik Abdullah Nik Omar
Tinjauan Bernama di Pulau Suri mendapati pulau berkenaan berpotensi untuk dijadikan kawasan tarikan pelancongan baharu bersempena Tahun Melawat Malaysia 2020 (TMM 2020).
Perunding rekreasi, Suzilan Mohd Salleh, 54, berkata aktiviti berkayak sangat sesuai dilakukan di sekitar Pulau Suri kerana ia tidak dipengaruhi air pasang surut air laut yang ketara justeru pendayung tidak mudah mengalami keletihan kerana tidak menggunakan tenaga yang banyak.
“Air yang jernih selain keindahan alam dan kehidupan masyarakat yang bergantung sepenuhnya kepada sumber yang ada di pulau mampu menjadi tarikan kepada pelancong.
Pendayung juga boleh merasai kehidupan berbeza masyarakat kampung di gugusan Pulau Suri,” katanya.
Suzilan berkata, selain aktiviti berkayak, pelancong juga boleh menikmati keindahan alam menerusi aktiviti berbasikal di gugusan pulau.
“Selalunya pengayuh akan memulakan kayuhan dari Kota Bharu untuk ke jeti Kuala Besar sebelum menaiki bot ke Pulau Suri.
“Setibanya di sana, pengayuh boleh menggunakan laluan motosikal di kawasan pulau yang bersambung dengan jambatan sebelum ke mana-mana jeti di atas pulau berkenaan untuk ke Jeti Kok Majid.
“Dari Jeti Kok Majid, mereka akan mengayuh basikal ke Kampung Laut, Tumpat sebelum menaiki bot penambang untuk ke Jeti Tambatan Diraja di sini, untuk menamatkan kayuhan,” katanya.
SHAHRIL Hussin, menyediakan lokan bakar ‘cheese’ yang dipesan oleh pembeli di Pasar Terapung Kampung Pulau Suri. – Foto Nik Abdullah Nik Omar
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : BH Online