KUALA LUMPUR: Ikan kembung perlu dipotong empat bahagian bagi memastikan bekalan makanan harian mencukupi, itu luahan bekas Ketua Kampung Batu 21 Sungai Lui Hulu Langat, Mohamad Alias Ali, mengulas sumbangan barangan basah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang diterimanya.
Ia susulan kawasan terbabit dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 30 Mac lalu.
Mohamad Alias, 57, berkata sumbangan barangan basah seperti seekor ayam dipotong separuh dan tiga ikan kembung bagi setiap isu rumah tidak mencukupi bagi mereka yang mempunyai ahli keluarga yang ramai.
“Cuba bayangkan di rumah saya ada lima orang, cukup ke separuh ayam dan tiga ikan? Kena potong empat bahagian untuk seekor ikan mungkin baru cukup untuk bertahan (memastikan kelangsungan hidup).
“JKM berikan bantuan itu pada hari kedua PKPD, kita tidak dimaklumkan bila pihak berkuasa akan datang beri sumbangan barangan basah lagi.
“Selain ikan dan ayam, mereka turut menyumbangkan barangan keperluan harian seperti gula, garam dan beras, tetapi minyak masak tiada ada. Kalau stok lama sudah habis, bagaimana penduduk di sini mahu masak?” katanya pada BH, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohamad Alias berkata, semua penduduk menghargai bantuan pihak berkuasa namun mereka perlu mengambil kira tahap keperluan setiap isi rumah berbeza.
“Bantuan untuk setiap isu rumah sama, di mana yang didiami dua dan lapan orang diberikan ‘layanan’ setimpal.
“Itu tidak betul, ketika mereka membuat rondaan apa salahnya tinjau keadaan penduduk, dengar aduan dan maklum balas mereka,” katanya.
Mohamad Alias turut meminta pihak berkuasa untuk memberi kelonggaran pergerakan kepada penduduk terbabit yang berhasrat untuk meninjau keadaan kebun dan kolam ikan mereka berdekatan.
“Kita minta jasa baik pihak berkuasa benarkan mereka yang mahu ke kebun dan kolam ikan yang menjadi tempat mencari rezeki.
“Sekarang ini, ramai penduduk ‘bising’ banyak tanaman sayur sudah layu, ikan pun m4ti,” katanya.
Pada masa sama, katanya, rata-rata penduduk mahu penjelasan daripada pihak berkuasa berhubung isu barangan ditempah mereka dari orang luar dan diletakkan di dewan serbaguna berdekatan yang masih tidak diberikan kepada penduduk.
“Ramai penduduk ada minta bantuan orang luar hantar barangan seperti makanan yang kemudian diletakkan di dewan serbaguna berdekatan, sejak beberapa hari lalu.
“Sampai sekarang pihak berkuasa tidak hantar barangan itu kepada kami, kalau mahu penduduk ke sana ambil sendiri barangan berkenaan kelonggaran pergerakan PKPD perlu diberikan,” katanya.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : BH Online