Berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan sejak 18 Mac lalu, Siti Endon Ismail yang mencari rezeki dengan memakai maskot Hello Kitty di Pantai Teluk Cempedak hilang sumber pendapatan utamanya.
Warga emas berusia 57 tahun itu berkata sebelum PKP, dia merancang untuk membeli kostum Doraemon yang baru sempena cuti sekolah baru-baru ini bagi menggantikan kostum lama yang telah lusuh.
“Teluk Cempedak sering dipenuhi pengunjung ketika cuti sekolah, saya bercadang ingin meraih pendapatan yang cukup untuk membeli kostum baru bagi menggantikan kostum yang telah lusuh.
“Tapi malangnya disebabkan w4b4k cov1d-19, pantai tersebut ditutup. Ibarat mimpi ngeri kerana cuti sekolah adalah peluang keemasan bagi saya untuk memperoleh sedikit wang tambahan,” katanya.
Ibu tunggal dari Kampung Tengah itu pernah tular tahun lalu apabila dilihat memakai kostum karakter animasi popular Jepun, Doraemon yang duduk keseorangan di pantai.
Ramai yang terkejut setelah mengetahui maskot tersebut dipakai warga emas yang berjam-jam menghiburkan pengunjung agar dapat membeli makanan untuk dirinya dan 50 ekor kucing di rumah.
Tambah Siti Endon, beliau meraih pendapatan sekitar RM30 sehari yang dikatakan cukup untuk mengisi perutnya dan menjaga kucing selain menerima RM300 sebulan dari Majlis Agama Islam dan Melayu Pahang.
“Saya tertanya-tanya apa yang maskot lain (rakan-rakan) lakukan tanpa sebarang pendapatan ketika ini. Mungkin mereka cari kerja yang lain?
“Saya rindu untuk berjalan di sepanjang pantai dan bergaul dengan kanak-kanak. Ia membuatkan saya berasa muda seperti mereka,” ujarnya.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : cempedakcheese