Enam beranak huni pondok dapat rumah baharu

BALING: Nasib enam beranak yang menghuni pondok burvk di kebun getah di Kampung Air Kembai, Kupang, mendapat perhatian apabila mereka bakal mendapat rumah baharu lebih selesa.

Megat Noor Asyeqi Megat Hussin, 36, berkata dia terpaksa berteduh di pondok itu bersama isteri, Siti Roshamilia Mat Radzi, 32, dan empat anak mereka sejak lebih setahun lalu.

Katanya, sebelum ini dia ada menyewa rumah, namun pendapatannya sebagai penoreh getah yang tidak menentu menyebabkan mereka sekeluarga terpaksa berpindah ke pondok berkenaan.

“Saya sed1h melihat tiga anak, Puteri Amira Husna, 11, Puteri Aleesya Husna, 8, dan Megat Hanif Mukhriz, 7, yang sudah bersekolah terpaksa belajar dalam keadaan serba kekurangan.

“Walaupun hidup miskin, saya sangat pentingkan soal pendidikan anak supaya mereka tidak terabai dan menerima nasib seperti saya,” katanya ketika ditemui selepas dikunjungi Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim semalam.

Megat Noor berkata, walaupun hidup serba kekurangan, anaknya masih berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan di sekolah.

“Puteri Amira berjaya mendapat tempat pertama peperiksaan akhir tahun dan turut mendapat tempat pertama di sekolah agama tahun lalu.

“Puteri Aleesya pula mendapat tempat kedua peperiksaan akhir tahun dan tempat pertama di sekolah agama,” katanya yang turut memiliki anak bongsu, Puteri Anisa Husna, 4.

Sementara itu, Abdul Azeez berkata, pihaknya akan membantu membina rumah baharu di tanah milik bapa Megar Noor yang terletak tidak jauh dari kebun getah berkenaan.

Katanya, rumah berkenaan akan dilengkapi bilik tidur, dapur dan bilik air bagi membolehkan keluarga itu hidup selesa dan anak Megat Noor dapat terus belajar.

“Walaupun keadaan tempat tinggal mereka daif, namun anak keluarga ini masih terus belajar sehingga berjaya mencatat keputusan cemerlang.

“Sebab itu saya tersentuh melihat kehidupan keluarga ini terutama semangat anak mereka yang bercita-cita besar menjadi doktor, pensyarah dan pegawai bomba,” katanya.

Katanya, rumah baharu itu akan dibina sebaik Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tamat dan dijangka siap dalam tempoh tiga bulan.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : BH Online