KELUARGA daif yang menghuni pondok burvk di kebun getah di Kampung Air Kembai, Kupang, Baling, terpaksa menolak hasrat Ustaz Ebit Lew mencarikan rumah sewa untuk mereka.
Megat Noor Asyeqi Megat Hussin, 36, berkata, ini kerana mereka sudah mengambil keputusan berpindah sementara ke rumah ibunya, Salmah Isa, 61, di Kampung Asam Jawa, Kupang.
Katanya, dia terharu dengan kehadiran Ustaz Ebit pagi tadi, yang turut berjanji membelikan tilam, katil dan perabot baharu sebaik rumah yang akan dibina Ahli Parlimen Baling, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim siap selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
“Saya sedang mengemas barang sebelum terkejut mendengar Ustaz Ebit memberi salam dan berdiri di hadapan pondok kami pada jam kira-kira 10.30 pagi tadi.
“Mengikut perancangan, kami akan berpindah sementara ke rumah ibu di Kampung Asam Jawa kerana pondok akan dirobohkan hari ini,” katanya ketika dihubungi.
Megat Noor berkata, keluarganya terpaksa menolak tawaran Ustaz Ebit yang mahu mencarikan rumah sewa sementara kerana kawasan itu tidak mempunyai kediaman untuk disewakan.
“Ustaz Ebit ada tawarkan kami rumah sementara, tetapi rumah sewa yang ada cuma di pekan Baling dan ia jauh pula dari kebun getah tempat saya menoreh.
“Jadi buat sementara saya akan menumpang di rumah ibu seperti disaran Abdul Azeez semalam, yang mendapati pondok kami berbahaya terutamanya ketika cuaca hujan,” katanya.
Abdul Azeez ketika mengunjungi keluarga berkenaan berjanji akan membantu membina rumah baharu di tanah milik bapa Megat Noor yang terletak tidak jauh dari kebun getah berkenaan.
Rumah yang dijangka dapat dibina selepas tamat PKP akan dilengkapi bilik tidur, dapur dan bilik air bagi membolehkan keluarga itu hidup selesa dan anak Megat Noor dapat terus belajar.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : HM