KUALA LUMPUR – Dua pemimpin utama dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memberi gambaran bahawa mereka akan bekerjasama sekali lagi dalam arena politik negara selepas krisis pada Februari lalu yang menyaksikan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam satu kenyataan bersama hari ini berkata, mereka akan berusaha untuk bangkit semula dan mengembalikan mandat rakyat ke pihak yang sepatutnya.
“Dua tahun lepas, kami tidak berputus asa membawa suara rakyat. Hari ini juga sama. Kami telah lama menolak perbezaan, sengketa dan kemelut demi rakyat. Kami sudah berusia, masa kami sudah tidak lama. Namun semangat perjuangan kami masih marak dalam jiwa setiap anak muda yang mengimpikan reformasi,” kata mereka.
Kata mereka lagi, mandat yang diperoleh rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu telah dikhianati dan mendakwa pemimpin kerajaan hari ini sanggup berbuat apa sahaja untuk mengumpul kuasa.
“Jawatan besar mula diagih, kuasa dan pangkat terus ditagih. Memahami situasi ini, kami tidak mengiktiraf kerajaan hari ini. Prinsip kami jelas dari hari pertama kerajaan ini tertubuh, iaitu ia berdiri tanpa mandat rakyat. Ia tidak diperoleh secara sah menurut kertas undi di dalam pilihanraya.
“Ia didasari sikap tamak kepada pangkat dan jawatan semata-mata. Malah tidak ada satupun pemimpin kerajaan hari ini yang berjanji untuk berkhidmat kepada rakyat. Kami tidak sanggup untuk menggadaikan moral dan etika kami untuk menyokong kerajaan hari ini,” kata mereka lagi.
Pada 24 Februari lalu, Dr Mahathir mengumumkan secara mengejut meletakkan jawatan Perdana Menteri manakala Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan parti itu keluar daripada PH.
Krisis ini selesai apabila Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memilih Muhyiddin sebagai Perdana Menteri Malaysia yang kelapan dan mengangkat sumpah pada 1 Mac lalu.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : cempedakcheese