Tawaran gaji sehingga RM2,400 kepada belia tempatan bekerja di Pasar Borong KL

KUALA LUMPUR – Kementerian Wilayah Persekutuan bercadang menawarkan peluang pekerjaan di Pasar Borong Kuala Lumpur kepada golongan belia menganggur dengan gaji sebanyak RM2,400 sebulan.

Menterinya Tan Sri Annuar Musa berkata khidmat pekerja tempatan di pasar borong adalah diperlukan memandangkan jumlah pekerja tidak mencukupi berikutan warga asing tidak dibenarkan bekerja di sana.

“Kami sedang memikirkan untuk membawa belia kita untuk bekerja dengan kaedah baharu, dalam suasana lebih baik dengan keperluan tempat tinggal dan pengangkutan akan diatur, terutamanya apabila pasar borong moden siap diubah suai.

“Jika sebelum ini warga gelandangan ditawar gaji sekitar RM1,400 hingga RM1,600 dalam sektor perkilangan, saya berunding (untuk gaji) sehingga RM2,400 kepada mereka yang mahu bekerja di pasar borong,” katanya ketika siaran langsung Facebook di sini, pada Rabu.

Katanya selain itu, pihaknya telah mengenal pasti beberapa tapak di sekitar ibu kota bagi membina kafetaria, gazebo, warung kecil atau kedai, selain pondok bas dan stesen LRT untuk menyediakan peluang perniagaan kepada golongan muda.

“Sebelum ini, kami telah berjaya mendapatkan peluang pekerjaan kepada warga gelandangan dan kali ini ramai golongan muda hilang pekerjaan dan menganggur akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), maka kini kami tampil untuk membantu mereka pula,” katanya.

Katanya pihaknya juga sedang merancang untuk menawarkan skim ‘sewa dan beli’ kepada golongan muda B40 berusia 35 tahun ke bawah untuk memiliki rumah pertama mereka.

“Sebanyak 1,000 unit rumah tiga bilik akan ditawarkan sewa bulanan sekitar RM800 hingga RM850 kepada mereka sementara menunggu siapnya pembinaan rumah mampu milik berharga RM200,000 ke bawah.

“Mereka boleh sewa untuk tempoh beberapa tahun, selepas itu bila kami siapkan rumah mampu milik itu, mereka boleh beli rumah itu dan sebahagian daripada sewa akan dikembalikan kepada mereka sebagai rebat untuk kegunaan deposit,” katanya.

— BERNAMA

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : cempedakcheese