Dato’ Rizalman Ibrahim, satu nama yang tidak asing lagi di kalangan para penggemar fesyen. Seorang yang sangat terkenal dengan karya seni rekaan bercita rasa tinggi serta kreatif. Sering menjadi pilihan golongan kenamaan mahupun atasan yang sentiasa percaya dengan kepakarannya. Sejujurnya, bapa kepada dua orang anak lelaki ini sebenarnya seorang yang cukup merendah diri. Dato’ Rizalman selayaknya digelar ‘guru’ dalam industri fesyen tanah air kerana ilmu serta kebolehan luar biasa yang dimiliki.
PENGALAMAN
“Kerjaya sebagai pereka fesyen bermula sebaik tamat pengajian di UiTM pada tahun 1993 di salah sebuah butik sekitar Kuala Lumpur. Tugas saya menjahit butang dan cangkuk dengan gaji hanya RM350. Waktu itu kerja hanya enam bulan kerana saya rasa terlalu terkongkong dan tercabar dengan skop kerja. Saya nekad untuk jadi pereka fesyen berjaya seterusnya berniat mahu membalas jasa ibu bapa. Sebaik berhenti kerja, saya buat freelance. Disebabkan masa itu tiada media sosial sukar untuk saya bertapak dalam industri fesyen.
Pun begitu, saya tidak pernah anggap ia satu halangan. Saya terus berusaha sehinggalah dikenali sebagai pereka fesyen baru yang sering mengetengahkan silhouette daripada kebaya dan kurung yang dimodenkan mengikut cita rasa masyarakat ketika itu. Saya turut mengeluarkan idea-idea baru seperti baju kurung yang boleh diolah dalam pelbagai bentuk dan sebagainya. Dari situ orang mula mengenali saya sebagai seorang yang suka membuat revolusi terhadap busana-busana tradisional selain menitikberatkan soal kualiti.
Pelanggan pertama saya ialah personaliti televisyen terkenal, Wan Zaleha Radzi yang membeli sepasang kebaya kuning dan saya menggunakan fabrik sari. Personaliti lain ialah Fauziah Ahmad Daud, Zarina Zainuddin dan Zakiah Anas. Disebabkan belum ada butik, cara saya menjual ialah dengan meletakkan baju-baju yang sudah dijahit ke dalam beg dan membawanya ke stesen televisyen dengan menaiki bas.
Waktu itu saya masih belum punya kereta sendiri dan tiada pekerja. Semuanya dilakukan sendiri, menjual dari pejabat ke pejabat, pergi ke rumah klien dan sebagainya. Dan bila ada duit sikit saya iklankan hasil rekaan dalam majalah.
Kesimpulannya, agak susahlah dulu kerana perlu bergantung kepada cara pemasaran di samping kualiti produk itu sendiri. Bila sudah ada simpanan barulah saya membuka butik secara kecil-kecilan,” ungkap anak bongsu ini yang dilahirkan dalam keluarga seni. Ibunya seorang tukang jahit manakala bapa merupakan kerani dan jurufoto fesyen. Adik beradiknya pula pandai melukis dan ada yang bergelar pelakon teater serta pelakon radio.
SEMPURNA
“Saya bersyukur kerana dijadikan siapa diri saya sekarang untuk berkongsi ilmu yang dianugerahkan oleh Dia. Saya hanyalah sebagai medium serta watak di pentas dunia ini yang telah berjaya saya sampaikan dengan sempurna. Kelebihan yang saya miliki ini adalah satu tanggungjawab. Ilmu itu satu amanah. Saya juga memandang risiko serta kritikan sebagai satu fasa kehidupan yang mematangkan.
Sebagai pereka fesyen juga saya perlu tahu siapa pesaing-pesaing untuk menjadi yang lebih baik dan berusaha sampai ke tahap paling atas yang menjadi kunci untuk menjadi pereka fesyen tersohor. Saya juga pakar dalam fesyen dan tahu apa itu fesyen kerana banyak membaca dan mengembara ke negara luar,” ujar anak kelahiran Pulau Pinang ini yang berusia 48 tahun.
HARAPAN
“Harapan saya bila tibanya saat menutup mata, dapatlah pergi dalam keadaan yang tenang tanpa hutang. Sihat tubuh badan serta mampu melakukan ibadah dengan sempurna seterusnya memiliki anak-anak yang soleh. Tidak kisahlah mereka mahu meneruskan legasi saya mahupun tidak. Semoga mereka diberikan jodoh yang solehah dan keturunan yang soleh.
Seterusnya nasihat saya buat generasi muda yang mahu berjaya pertamanya ialah kenal dahulu siapa Pencipta, kenal siapa diri kita dan kenal segala benda yang ada di sekeliling kita. Bila kita tahu semua itu maka kita akan tahu bagaimana formula untuk menjadikan diri kita berguna dan bagus kepada orang lain,” akhiri Dato’ Rizalman yang juga pemilik kepada Glam Casa, Glam Reka, Glam Weddings serta The RI Maison by Rizalman.
Kredit Foto: Instgram @rizalman71
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : Nona