Penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza akhirnya mempamerkan kehandalannya memasak dalam rancangan masakan terbaharu, Selera Nisa Bakri yang sudah mula bersiaran sejak minggu lepas.
Selain Siti, seramai 12 lagi artis popular tanah air bakal menunjukkan skil memasak bersama cef selebriti, Puan Seri Nisa Bakri.
Antaranya Erma Fatima, Izzue Islam, Noorkhiriah, Bell Ngasri, Shariff dan Atue daripada kumpulan Zero.
Turut diundang chef selebriti terkenal, Chef Wan.
Program masakan itu bakal membawa penonton menerokai pelbagai resipi menarik sepanjang bersiaran selama 13 episod.
Sementara itu, Nisa Bakri meluahkan rasa syukur kerana program memasak pertama kendaliannya di kaca televisyen akhirnya dapat direalisasikan.
“Terima kasih kepada semua yang terlibat dalam pembikinan program ini yang merupakan pengalaman yang tidak ternilai bagi saya.
“Banyak yang masih saya perlu dipelajari untuk menjadi lebih baik dan saya masih belajar setiap hari untuk sesuatu yang baharu bagi mendapat perbezaan di dunia masakan ini.
“Saya tidak pernah berputus asa, setia pada diri sendiri, di kelilingi diri dengan rakan-rakan yang positif, mempunyai keberanian untuk mengatakan tidak dan tidak akan berubah fokus saya untuk memulakan perjalanan yang sangat sukar pada mulanya,” katanya yang juga usahawan perencah segera dan juga penulis buku I Am Not A Chef.
Apa yang menarik, program secara santai dan bersahaja ini memberi tunjuk ajar kepada penonton untuk membuat transformasi hidangan fusion dengan menyuntik elemen baharu dalam pelbagai menu.
Selain perkongsian resipi dan cara memasak, Nisa juga akan memberikan tip serta teknik masakan yang bermanfaat buat penonton menerusi lokasi penggambaran yang pelbagai berlatar belakang panorama alam semula jadi yang mendamaikan.
Program itu memilih Kundasang di Sabah yang berlatar belakang Gunung Kinabalu dalam usaha memperkenalkan tempat menarik di negara ini kepada penonton.
Selera Nisa Bakri itu disiarkan pada setiap hari pukul 10 pagi di Astro Okey dan Unifi 110 sehingga 23 Mei ini.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : Gempak