Biarlah serius sikit: Menteri

PELBAGAI gelagat ‘khatib terjun’ dapat dilihat ketika membacakan khutbah raya sempena hari pertama Aidilfitri kelmarin.

Larangan mengerjakan solat Aidilfitri di masjid membuka ruang buat ketua keluarga masing-masing mengasah bakat menjadi khatib untuk membaca khutbah raya.

Apa yang menarik perhatian adalah mereka menggantikan tongkat khutbah dengan objek lain yang kebiasaannya dipegang khatib ketika membaca khutbah.

Ada antara mereka memegang lampu hiasan, vakum, joran pancing, kayu golf, penyidai baju dan pedang cahaya daripada filem Star Wars.

Gelagat khatib terjun itu kemudian tular apabila gambar mereka dimuat naik di media sosial.

Seorang warga Twitter @henceitsnani berkongsi ‘tongkat’ dipegang bapanya.

“Bapa saya tidak mempunyai tongkat untuk raya hari ini (kelmarin), dia gunakan lightsaber,” tulisnya.

Sementara itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menasihati umat Islam supaya tidak menjadikan tongkat khutbah sebagai bahan lawak dan mempersendakannya.

“Khutbah yang disampaikan adalah baik namun kalau boleh apa yang hendak dipegang sebagai tongkat atau lain-lain, biarlah melambangkan keseriusan dan bukan menjadi bahan lawak,” katanya kepada Bernama.

Semakan Harian Metro di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, khatib dari sudut bahasa membawa maksud individu yang bercakap di hadapan sekumpulan manusia.

Menurut kenyataan itu, antara perkara yang disunatkan ketika khutbah adalah memegang tongkat, pedang atau busur anak panah.

Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Al-Hakam bin Hazan.

“Imam Al-Nawawi juga pernah berkongsi pendapat ashab al-Syafi’eyyah yang menyatakan sekiranya khatib tidak menemukan pedang, tongkat dan seumpamanya maka hendaklah khatib itu menenangkan tangannya.

“Iaitu dengan meletakkan tangan kanan di atas tangan kiri atau dia melepaskan sahaja kedua tangannya dan tidak menggerak-gerakkan tangannya.

“Tujuannya adalah untuk mencapai kekhusyukan dan menghalang daripada melakukan perbuatan yang sia-sia,” katanya.

Katanya, hukvm memegang tongkat semasa berkhutbah adalah sunat iaitu disunatkan memegang tongkat dengan tangan kiri manakala tangan kanan memegang bahagian mimbar.

“Perbuatan ini bertujuan menghasilkan ketenangan dalam penyampaian kepada jemaah.

“Meskipun begitu, tidak ada masalah sekiranya khatib berkhutbah tanpa memegang tongkat. Namun dia disarankan untuk meletakkan tangan kanannya di atas tangan kiri, bagi membentuk posisi tubuh yang menenangkan atau boleh sahaja untuk khatib melepaskan kedua-dua tangannya ke bawah semasa berkhutbah,” katanya.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : HMetro