”COVID-19 menyatukan kami”- Cinta PKP Syamimi dan Zainari berkenalan dan bercinta ketika bertugas di Pusat Kuarantin..

“KAMI berkenalan dan bercinta ketika bertugas di Pusat Kuarantin di Kuala Kedah sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan mengambil keputusan bertunang hari ini,” kata Nur Syamimi Ramli, 32.

Nur Syamimi, anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Padang Terap mengikat tali pertunangan dengan anggota APM Yan, Sarjan Zainari Ahmad, 33.

Menurutnya, mereka sebelum ini tidak pernah mengenali antara satu sama lain walaupun dalam satu jabatan sama di negeri ini.

“PKP menyatukan kami berdua dan Insya-Allah akan bernikah pada 31 Ogos depan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Jeneri, Begia, Sik, hari ini.

Nur Syamimi berkata, perkenalan mereka berlaku pada 9 April lalu ketika dia dan pasangannya bertugas di pusat kuarantin itu dan tunangnya ketika itu bersama pasukan APM Yan.

Katanya, ketika sedang bergurau, secara tidak sengaja, Zainari terpegang tangannya menyebabkan mereka sama-sama malu kerana tidak pernah bertegur sapa.

“Namun selepas habis bertugas petang itu, saya ada menghubunginya selepas meminta nombor telefon melalui rakan.

“Mulanya dia ingat saya nak marah dia sebab terpegang tangan saya tetapi saya cuba untuk mengenalinya dan dari situ kami sering berhubung,” katanya yang juga ibu tunggal yang mempunyai seorang anak lelaki berusia 10 tahun.

Nur Syamimi berkata, Zainari kemudian mengajak bertemu keluarganya di Yan dan mereka berbincang untuk bertunang.

Sementara itu, Zainari berkata, dia tidak menyangka akan bertemu jodoh dengan Nur Syamimi dan mengambil masa dua bulan untuk mengenali hati budi masing-masing.

Katanya, Nur Syamimi pandai menjaga hatinya dan selalu mengambil berat menyebabkan dia jatuh cinta.

“Saya menerimanya dengan hati yang terbuka dan berharap semoga jodoh kami berpanjangan,” katanya.

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : Metro