“Hilang Kata-kata..” – Pavithra

JIKA sebelum ini hanya bersua muka menerusi alam maya, hari ini menjadi detik yang tidak dapat dilupakan oleh pasangan YouTuber terkenal, Sugu Pavithra apabila bertentang mata buat pertama kali dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Dalam pertemuan berkenaan, Muhyiddin dengan ramah dan spontan menyapa pasangan yang berjaya memikat hati rakyat pelbagai kaum menerusi video masakan mereka.

“Pavithra, tak masak ke?” tanya Muhyiddin spontan.

Dek kerana terlalu gugup, sapaan yang begitu mudah kelihatan amat sukar sekali untuk dibalas pasangan YouTuber tersebut.

S.Pavithra berkata beliau berasa amat gementar sehingga kehilangan kata-kata.

“Tadi beliau juga tanya saya tak makan ke? Saya rasa terlalu gementar sehingga saya hanya kata ah, ah ya..”

“Perkataan saya tersekat sikit,” kata suri rumah yang berusia 28 tahun itu kepada media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Rukun Negara ke-50 di Putrajaya, pada Khamis.

Menetap di Sungai Siput, Perak, Sugu Pavithra sebelum ini pernah menarik perhatian Perdana Menteri yang turut menghadiahkan mereka tripod, ketuhar gelombang mikro, periuk nasi elektrik serta barangan memasak.

Pavithra anggun berpakaian punjabi hijau dan Sugu berbaju serba hitam menerima jemputan khas menghadiri majlis itu, dilihat melafazkan Rukun Negara dengan penuh semangat ketika ia dibacakan oleh Perdana Menteri.

Pasangan suami isteri itu berkata mereka merasakan Rukun Negara adalah dasar yang mengeratkan perpaduan negara.

Mereka yang terkenal dengan video masakan dan kepetahan bertutur dalam bahasa kebangsaan itu turut berazam untuk menanam semangat Rukun Negara kepada anak-anak yang masih kecil.

“Anak-anak juga belajar ini di sekolah namun di rumah saya cuba menerapkan prinsip itu supaya lebih kuat dalam diri mereka,” kata Pavitra. – BERNAMA

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : mStar via TerengganuTV