Erra doa agar kembali bertemu jodoh

MESKI apapun dugaan yang dilalui, baik dalam kerjaya seni mahupun kehidupan peribadi, pelakon dan penyanyi Erra Fazira sentiasa positif dan teguh berdiri pada pendiriannya.

Tidak hairanlah pemilik nama sebenar Fazira Wan Chik, 46, itu disenangi ramai dan sering menjadi tumpuan untuk didekati.

Bagaimanapun, setelah dua kali berdepan kegag4lan dalam rumah tangga, ramai yang mengandaikan bekas Ratu Cantik Malaysia itu menutup pintu hatinya untuk kembali mencari pengganti.

Diajak bicara soal jodoh, Erra dengan tenang menjelaskan, dia sentiasa menyerahkan hal yang satu itu kepada Yang Maha Kuasa.

“Saya tidak pernah menutup pintu hati saya kerana sedar perasaan cinta itu tidak boleh dihalang atau dikawal, apabila ia hadir dalam hidup kita.

“Cuma mungkin kerana pengalaman lalu, saya kini lebih berhati-hati dalam memilih pasangan hidup. Jadi ia sedikit sebanyak melambatkan proses untuk ke fasa seterusnya.

“Saya tidak boleh terus bersetuju, sebaliknya banyak perkara yang perlu dipastikan terlebih dahulu kerana umur saya pun dah berapa dan kalau kahwin selepas ini, ia menjadi perkahwinan ketiga saya,” akui Erra.

Apapun, kegagalan lalu tidak pernah menjadikan Erra serik untuk mendirikan rumah tangga kembali.

Malah kata ibu tunggal kepada seorang cahaya mata, Engku Aleesya, 11, dia sentiasa berdoa agar kembali dipertemukan jodoh.

“Dalam doa, saya selalu mohon agar diberikan jodoh yang baik dan itu bermakna saya memang berhasrat untuk berkahwin lagi.

“Saya sentiasa terbuka tentang soal itu kerana menyedari apabila anak dah makin besar dan usia meningkat, pastinya kita inginkan seseorang untuk menemani,” akuinya jujur.

Erra ditemui pada majlis pelancaran dan pelantikan dirinya sebagai duta produk penjagaan rambut Faith Fleur di Menara Kuala Lumpur baru-baru ini.

Duta produk, single baharu

Mengulas tentang kesediaannya bergelar duta kepada produk terbabit, Erra berkata, dia terlebih dahulu mencuba keberkesanan produk sebelum menyatakan persetujuan.

“Sebelum bersetuju, semestinya saya cuba dahulu produk tersebut untuk melihat sendiri keberkesannya, bila dah berpuas hati barulah saya OK.

“Sebagai duta, kita kena faham tanggungjawab yang diamanahkan dan dalam masa sama perlu sentiasa bersikap terbuka serta bertolak ansur.

“Apa yang penting di sini, jangan terlalu berkira dan sentiasa ada perbincangan untuk mengelakkan sebarang masalah berlaku,” katanya yang bergelar duta produk milik pengusaha tempatan itu selama dua tahun.

Dalam pada itu, Erra berkata, dia tidak pernah memilih untuk bekerjasama dengan dengan sesuatu jenama berdasarkan produk keluaran tempatan atau antarabangsa, sebaliknya lebih kepada kepuasan diri.

“Saya cuba berlaku adil dalam setiap pilihan yang saya buat berdasarkan hasil dan keberkesanannya.

“Kalau rasa OK, saya akan bersetuju, tidak kiralah ia produk tempatan atau antarabangsa.

“Saya pernah menolak untuk bekerjasama dengan jenama antarabangsa kerana produk tersebut tidak serasi dengan saya,” tegas Erra.

Berkongsi tentang perkembangan terbaharu kerjaya seninya, kata Erra, dia masih lagi sibuk di lokasi penggambaran drama bersiri Gerak Khas, selain dalam persediaan memulakan penggambaran beberapa telefilem.

“Dalam tempoh tiba bulan sebelum ini, banyak kerja yang tertangguh, baik dalam kerjaya seni mahupun perniagaan. Alhamdulillah selepas PKP, jadual kerja kembali penuh.

“Selain tugasan sebagai hos program Mingguan Wanita, saya juga sibuk dengan lakonan untuk drama dan telefilem.

“Dalam masa yang sama, insya-ALLAH ada juga perancangan untuk tampil dengan lagu baharu selepas single terdahulu, Menangkah Arus mendapat maklum balas positif daripada peminat,” akhiri Erra.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : Sinar