Badrul impi bawa watak utama

KUALA LUMPUR: Aktor popular era 1990-an, Badrul Muhayat, 52, kembali aktif berlakon selepas enam tahun menghil4ngkan diri daripada radar dunia hiburan.

Kepulangan semulanya berlaku secara tidak sengaja apabila berjumpa dengan Ketua Pegawai Eksekutif, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Ahmad Idham Ahmad Nadzri ketika berada di Johor Bahru, beberapa tahun lalu.

Pada pertemuan itu, Ahmad Idham masih aktif dalam dunia penerbitan dan pengarahan menawarkannya membintangi drama Married Tapi Benci yang menampilkan pelakon, Syafiq Kyle dan Azira Shafinaz sebagai teraju utamanya untuk syarikat produksinya, Excellent Pictures.

“Saya masih berulang alik dari Johor Bahru ke Kuala Lumpur setiap kali ada tawaran lakonan. Mereka yang mengenali saya tahu dunia lakonan adalah kerjaya sambilan, sejak dahulu lagi.

“Saya mula menerima tawaran stesen TV3 sejak muncul dalam drama Married Tapi Benci. Mereka menghubungi dan minta bersedia untuk projek seterusnya. Saya akhirnya membuat keputusan memilih lakonan sebagai kerjaya sepenuh masa selepas setahun berulang alik,” katanya yang ditemui pada majlis memperkenalkan stesen televisyen (TV) swasta terbaharu, Awesome TV, baru-baru ini.

Menceritakan kehilangannya, pemilik nama Badrul Muhayat Ahmad Jailani itu berkata, dia berada di selatan tanah air sepanjang enam tahun menghil4ngkan diri bagi menguruskan perniagaan keluarga.

Meskipun enam tahun menyepi, aktor berusia 52 tahun itu berkata, dia tidak kekok menyesuaikan diri dengan corak kerja generasi baharu.

Pelakon yang mula diperkenalkan menerusi filem Riang Tirana pada 1991 itu berkata, dia mengagumi kreativiti yang ditunjukkan pasukan produksi daripada kalangan generasi muda.

“Walaupun lama tak berlakon, tetapi saya tidak mengalami kejutan budaya, sebaliknya saya dapat satu rangsangan apabila bekerja dengan pasukan pengarah muda. Lakon layar mereka amat berbeza dengan cara kerja orang lama.

“Bukan saya kata hasil kerja orang lama tak bagus, tetapi mungkin disebabkan mereka menggunakan peralatan yang canggih jadi ia membantu memberikan hasil yang sangat baik.

“Begitu juga pelakon generasi baharu, kebanyakan mereka memiliki bakat lakonan mengagumkan. Namun ada yang mempunyai masalah disiplin seperti sering lewat ke lokasi penggambaran. Bagaimanapun, dari sudut lakonan, mereka pelakon bagus,” katanya kepada BH Online.

Aktor yang pernah diangkat Pelakon Filem Lelaki Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) pada 1992 itu berkata, dia berhasrat menerokai dunia penerbitan, suatu ketika nanti.

Katanya, dia mahu menerbit drama kerana percaya masih sesuai membawakan watak utama seperti Datuk Rosyam Nor biarpun berusia setengah abad.

Namun, katanya, ia hanya boleh jadi kenyataan sekiranya menerbitkan naskhah sendiri.

“Bukan tak boleh terima hakikat apabila hanya diberikan watak bapa, saya juga mampu menjadi teraju utama sekiranya ada watak bersesuaian.

“Setakat ini, saya belum dapat bayangan watak, tetapi masih tercari idea. Saya kena duduk berbincang dan mencari penulis skrip terbaik. Bagi saya, tiada masalah untuk pelakon seperti saya menerajui watak utama, tetapi kena naskhah yang bersesuaian,” katanya.

Sementara itu, aktor kelahiran Johor Bahru itu mengakui kembali hidup solo selepas dua perkahwinan terdahulu terlerai di tengah jalan. Dia bagaimanapun tidak menolak andai ditakdirkan bertemu jodoh sekali lagi.

“Saya memang mencari, tetapi yakin dengan perancangan Allah SWT. Doakan yang terbaik untuk saya,” katanya yang dikurniakan dua cahaya mata berusia 11 dan 13 tahun yang kini menetap bersama bekas isteri di Ipoh, Perak.

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : BH