VIDEO sambutan ulang tahun kelahiran ke-49 wanita ini ternyata mengundang perhatian ramai setelah dia gagal menahan air matanya daripada gvgur.
Dalam video itu, Zurina Mohd Yusoff menerima wang bernilai RM1,000 yang ditarik keluar daripada sebuah kek gara-gara kejutan yang dirancang oleh anak-anaknya.
Menurut anak kedua kepada wanita itu, Aida Alwanee Mohammed, 25, dia yang berada di Selangor bertindak merancang kejutan tersebut sebelum direalisasikan oleh adik beradiknya yang berada di Kota Bharu, Kelantan.
“Last jumpa mak masa bulan Ogos. Tak dapat balik disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Jadi saya rancang dari jauh. Saya cari orang untuk buat kek tersebut secara online. Kemudian adik-adik yang buat kejutan.
“Saya hanya sertai majlis itu secara video call. Buat majlis online,” ujarnya kepada mStar.
Aida berada di Selangor dan tidak boleh balik ke Kelantan untuk meraikan hari lahir ibunya bersama adik beradik yang lain.
Mesra disapa Aida, pembantu pentadbir di Sepang itu mengakui turut sama menangis selepas ibunya tumpah air mata sewaktu majlis itu.
Malah katanya, dia sanggup membuat kerja sambilan bagi mengumpul wang untuk membuat kejutan hari lahir ibunya.
“Selepas dia nangis, saya pun ikut sama… tangisan kegembiraan. Masa kejutan tu, saya yang bagi arahan kepada mak untuk keluarkan duit tu melalui video call.
Hargailah ibu bapa kita. Ada macam-macam cara untuk bahagiakan mereka.
AIDA
“Sehari sebelum birthday pada Selasa lalu, mak ada call, tanya apa nak bagi kat dia. Tapi saya tak cakap apa-apa. Sebelum ni pun pernah buat kejutan. Tapi tak sangka kali ni viral.
“Untuk bagi hadiah pada mak, saya juga ada buat part time untuk kumpul duit. Saya buka tempahan makanan. Saya jual nasi kerabu, ayam penyet, laksam dan sebagainya,” ujar Aida lagi.
Selain kek yang berisi duit RM1,000, ibu Aida turut dihadiahkan sejambak bunga pada hari lahirnya.
Ibu Aida menarik keluar wang dari kek hari lahirnya yang ke-49.
Sehingga kini, video kejutan bersulam air mata itu menerima lebih 1.2 juta tontonan.
Ia dimuat naik oleh salah seorang adik kepada Aida menerusi aplikasi TikTok.
Dalam pada itu, Aida turut menzahirkan ucapan terima kasih atas kata-kata positif yang diterimanya di TikTok.
“Sebagai anak, saya tak jangka video ni viral. Saya pun ada baca komen-komen.
“Saya nak cakap, hargailah ibu bapa kita. Ada macam-macam cara untuk bahagiakan mereka,” ujarnya mengakhiri bicara
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : mstar via AppleHijau