Bagi ramai antara kita yang mementingkan kestabilan kerjaya, peluang untuk berkhidmat dalam sektor awam merupakan satu peluang yang sentiasa cuba didapatkan.
Bagaimanapun syarat kelulusan pendidikan yang tinggi mengikut bidang tertentu seringkali menjadi penghalang kepada kita, untuk sekurang-kurangnya mengambil peluang mendapatkan jawatan-jawatan tersebut.
Namun mungkin tidak ramai yang menyedari wujud 11 jawatan khas dalam perkhidmatan awam yang membolehkan anda berkhidmat untuk negara, berdasarkan kelulusan pendidikan PT3 atau PMR.
Kepada mereka yang sedang mencari kerja tetap atau kehilangan kerja, kami harap artikel ini membantu anda.
1. Bentara Parlimen
Bentara parlimen adalah mereka yang dipertanggungjawabkan membantu ahli parlimen semasa berlangsungnya persidangan parlimen, dalam setiap aspek.
Bentara secara amnya akan bertugas untuk membantu mengedar dokumen, memantau keadaan dewan dan membantu mengendalikan persidangan, sebelum, semasa dan selepas persidangan.
Gaji bulanan seorang bentara bermula daripada RM1,216 belum diambil kira elaun dengan kenaikan gaji tahunan RM80.
2. Operator loji
Inilah kumpulan hero yang tak didendangkan! Operator loji mempunyai tugas besar dalam pengurusan pengendalian jentera enjin untuk jabatan-jabatan yang ada dalam sektor awam.
Operator perlu menjalankan operasi hari ke hari, terlibat dalam penyelenggaraan mesin. Disebabkan oleh keperluan yang agak spesifik, seorang operator loji perlu mempunyai kelulusan khas perakuan kebolehan drebar enjin gred 2 yang dikeluarkan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan sebelum boleh bertugas, selain daripada kelulusan PT3.
Gaji operator loji minima adalah RM1,218 dengan kadar kenaikan tahunan RM80.
3. Pemandu kenderaan
Seorang pemandu kenderaan yang dilantik mempunyai tugasan bukan sekadar untuk memandu, malahan menyelenggara kenderaan yang digunakan mereka.
Untuk lantikan sebagai pemandu, selain kelulusan PT3/PMR gaji permulaan pemandu juga akan dinilai mengikut tahap lesen memandu yang dimiliki calon.
Lesen paling asas adalah lesen D yang membolehkan seseorang memandu kereta dua gandar seperti kereta dan van. Kumpulan pemandu kenderaan yang paling tinggi gajinya adalah golongan yang memiliki lesen G mampu mengoperasikan jentera berantai tanpa muatan tidak melebihi berat 5,000kg.
Gaji minima untuk pemandu kenderaan lesen D adalah RM1,264 sementara bagi pemegang lesen G pula, adalah RM1,402.
4. Operator jentera pemunggah
Berbeza dengan pemandu kenderaan yang lebih am skop kerjanya, operator jentera pemunggah pula bersifat lebih spesifik di mana mereka perlu mengendalikan operasi jentera kargo pukal untuk urusan perpindahan atau pengangkutan.
Seorang operator jentera pemunggah berpotensi untuk belajar mengendalikan jentera seperti mesin pengangkat, kren, traktor dan lain-lain, semasa berkhidmat.
Pendapatan minima seorang operator kategori ini adalah RM1,218 dengan kadar kenaikan gaji tahunan adalah RM80.
5. Pembantu awam
Tugas pembantu awam ini agak sukar untuk dijelaskan, kerana tugasan mereka sangat bergantung dengan jabatan atau agensi di mana mereka ditempatkan.
Namun secara amnya, pembantu am adalah mereka yang menjalankan kerja-kerja sokongan bersifat fizikal serta teknikal melibatkan peralatan dan fasiliti, lokasi mereka ditempatkan.
Selain itu pembantu awam yang mempunyai sijil keselamatan serta kemahiran seperti berenang, berpotensi untuk ditempatkan di lokasi yang kena dengan kemahiran tambahan mereka.
Seorang pembantu awam mempunyai gaji minima RM1,218 sementara mereka yang mempunyai kelulusan sijil pertolongan cemas mempunyai gaji minima lebih tinggi, pada kadar RM1,264.
6. Pembantu hidupan liar
Biasanya ditempatkan di Jabatan Perhilitan, pembantu hidupan liar mempunyai tugasan untuk membantu pengurusan haiwan serta binatang buas di peringkat daerah.
Pembantu hidupan liar akan terlibat secara langsung memantau dan melaksanakan program pemeliharaan haiwan di lokasi tugasan mereka, melakukan rondaan serta penggeledahan seandainya laporan berkenaan salah laku melibatkan haiwan liar diterima.
Jawatan ini sesuai sekiranya anda adalah salah seorang yang berminat dengan penjagaan haiwan. Gaji minima pembantu haiwan liar adalah RM1,200 dengan kenaikan tahunan sebanyak RM80.
7. Pembantu operasi
Pembantu operasi bertanggungjawab untuk menjadi individu yang melancarkan pentadbiran pejabat sama ada di peringkat kementerian, agensi atau jabatan dalam urusan pergerakan fail dan dokumen.
Oleh sebab itu seorang pembantu operasi seeloknya mempunyai lesen kenderaan sama ada lesen B2 minima untuk menunggang motorsikal atau lesen D untuk memandu kereta.
Seorang pembantu operasi yang tiada lesen diberikan gaji bulanan sebanyak RM1,216 sementara mereka yang mempunyai lesen kenderaan, mendapat imbuhan RM1,262.
8. Pembantu perawatan kesihatan
Dikhaskan lantikan dalam Kementerian Kesihatan, seorang pembantu perawatan kesihatan merupakan individu yang melakukan kerja-kerja asas dalam bidang kesihatan, termasuklah dalam penyediaan, penyelenggaraan dan tugas am lain.
Bidang tugas setiap pembantu perawatan kesihatan juga berbeza-beza mengikut lokasi di mana mereka bertugas. Ada yang ditempatkan di peringkat h0sp1tal, klinik, jabatan kesihatan dan unit kesihatan.
Ada juga yang bertugas di pintu masuk sempadan antarabangsa sebagai individu sokongan unit kesihatan yang ditempatkan di situ.
Seorang pembantu perawatan mempunyai gaji minima RM1,204 dengan kadar kenaikan tahunan RM80.
9. Pengawal keselamatan
Pengawal keselamatan lantikan awam merupakan penyelia keselamatan di pelbagai kementerian atau jabatan yang ada di seluruh negara.
Disebabkan oleh keperluan keselamatan yang ketat, calon jawatan ini juga perlulah memenuhi syarat kelayakan fizikal yang telah ditetapkan, daripada segi berat, tinggi, kemampuan deria serta tahap kesihatan.
Jawatan ini dibuka kepada dua kumpulan – orang awam yang berminat serta bekas anggota p0lis atau tentera yang tamat perkhidmatan dalam pangkat konstabel sokongan atau prebet, yang baik rekod perkhidmatannya.
Gaji minima yang diterima pengawal keselamatan adalah RM1,205 dengan kenaikan tahunan RM80.
10. Pengawas hutan
Sebut pengawas, kita terbayang pengawas sekolah lengkap dengan tali lehernya. Namun pengawas hutan merupakan kumpulan penjawat awam yang menyelia dan memantau kawasan rizab hutan negara kita.
Selain itu mereka juga bertanggungjawab untuk menjalankan aktiviti pembangunan hutan, aktiviti penguatkuasaan undang-undang berkaitan perhutanan serta turut sama menjadi penyokong kepada sebarang industri berasaskan kayu.
Pengawas hutan menerima gaji minima RM1,200 dengan kenaikan tahunan RM80. Sekiranya calon mempunyai sijil perhutanan pengawas hutan, mereka akan menerima kenaikan gaji kepada RM1,246 atau RM1,292 bergantung kepada jenis sijil mereka.
11. Penghantar notis
Antara jawatan paling digeruni, khasnya melibatkan perihal undang-undang.
Penghantar notis adalah individu yang bertanggungjawab memastikan dokumen undang-undang sama ada dokumen sam4n, waran, perintah, aturan dan lain-lain sampai kepada pihak yang dinamakan – secara serahan tangan.
Seandainya pihak yang dinamakan tidak ditemui, penghantar notis perlulah melakukan hebahan dalam bentuk notis yang dipamerkan di tempat awam serta merekodkan bukti sokongan ketiadaan penama.
Dalam penjelasan rasmi tugasan ini, ada disenaraikan risiko ancaman tindak balas agresif seandainya pihak penerima enggan menerima dokumen yang ingin disampaikan; jadi seorang penghantar notis perlulah turut sama mempersiapkan diri dari segi fizikal.
Pendapatan bulanan seorang penghantar notis adalah RM1,16 dengan kenaikan gaji tahunan sebanyak RM80.
Berapa elaun yang mereka terima?
Selain gaji tetap, semua penjawat awam gred 11 akan menerima elaun tertentu yang dikhaskan mengikut gred dan lokasi di mana mereka berkhidmat.
Secara amnya, mana-mana penjawat awam yang kami senaraikan di atas akan menerima 2 bentuk elaun iaitu imbuhan tetap khidmat awam dan imbuhan tetap perumahan.
Dicampurkan gaji bulanan dan kedua-dua elaun itu, seorang penjawat awam mampu membawa pulang sekitar RM1600 ke RM1700 sebagai pendapatan permulaan.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : Iluminasi