Ibu Tunggal Gigih Cari Rezeki Selongkar Tong Sampah Sambil Heret Anak Kecil. Terbongkar Bila NGO Datang

” Allah izinkan saya jumpa mereka supaya sedar dalam kehidupan ini ada orang lain yang lebih susah,”

Itu kata-kata Siti Noor Nadia Zainal Abidin, 29, yang terserempak dengan wanita bersama tiga anaknya memunggah tong sampah di Kampung Baru Nelayan, Tumpat, Kelantan, untuk mencari barangan kitar semula.

Menurut Siti Noor Nadia, dia dan suami, Abdul Halim Muhammad, 29, kebetulan melihat situasi itu ketika dalam perjalanan bagi urusan kerja di kawasan rumahnya.

” Semalam saya sudah memberi sumbangan barangan dapur dan lampin pakai buang untuk anak bongsunya yang berusia setahun.

” Saya lebih suka memberi barangan keperluan untuk dia dan anak-anaknya dan bukanlah dalam bentuk kewangan.

” Malah saya juga membantunya setakat yang mampu jika dia perlukan pertolongan terutama dalam urusan anak-anaknya,” katanya.

Sebelum ini tular video berdurasi 30 saat kelihatan wanita itu sebak selepas menerima sumbangan daripada Abdul Halim yang keluar dari kereta selepas melihat kegigihannya mencari rezeki di tong sampah.

Siti Noor Nadia berkata, selepas perkongsiannya itu tular, ramai individu yang turut berkongsi kisah itu dan mahu sama-sama menghulurkan sumbangan.

Menurutnya, wanita yang dikenali sebagai Norizza Husin adalah ibu tunggal yang menyara empat orang anak.

Tambah Siti Noor Nadia lagi, kakak Norizza pernah bekerja di kilang membuat keropok lekor namun terpaksa dicutikan tanpa gaji sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Kelantan, 16 Januari lalu.

” Keluarganya juga menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM400 sebulan.

” Saya juga tahu ramai badan bukan kerajaan (NGO) dan orang kampung pernah membantu keluarga ini tetapi tujuan saya membantu secara peribadi ini ikhlas sebagai saham akhirat,” katanya.

Sementara itu, Pengurus Persatuan Misi Kembara Dakwah, Dr Wan Martina Wan Yusoff berkata, pihaknya dan beberapa NGO gabungan lain juga dalam usaha menyantuni keluarga wanita itu.

Katanya, pihaknya tidak dapat menjalankan Program Gerobok Rezeki secara aktif seperti sebelum ini berikutan PKP dan menunggu masa yang sesuai untuk meneruskan pemberian sumbangan kepada golongan asnaf di sekitar Kelantan.

Luahan Norizza

Kelibatnya mendukung bayi sambil menyelongkar tong sampah bagi mencari besi buruk sudah tidak asing pada pandangan penduduk di Kampung Baru Nelayan, di sini.

Sambil menggalas beg atau plastik untuk diisi besi buruk, tangannya mendukung bayi lelaki yang berusia tiga bulan dan sebelah tangan lagi memimpin anak ketiganya yang berumur empat tahun berjalan sejauh satu kilometer setiap hari.

Itulah rutin Noriza Husain, 35, sejak hampir setahun lalu bagi menyara hidupnya serta empat anak termasuk dua yang bersekolah rendah selepas suami menghilangkan diri.

Noriza berkata, bukan sahaja mencari besi buruk, dia juga mengambil upah mencabut rumput di rumah penduduk kampung dengan bayaran sekitar RM20 hingga RM30 bergantung kepada keluasan halaman.

” Ketika awal mengandung lagi saya sudah membuat kerja ini dan selepas melahirkan anak, saya tidak berpantang seperti orang lain dan hanya ‘berehat’ dua minggu sahaja sebelum kembali meneruskan rutin kerana kami perlukan duit belanja.

” Setiap hari keluar mencari besi buruk atau mencabut rumput, memang saya akan bawa sekali dua anak ini manakala dua lagi bersekolah kerana tiada orang yang menjaga,” katanya ketika ditemui di rumah kakaknya, di sini.

Noriza dan empat anaknya kini hidup menumpang di rumah kakaknya, Sarinah Husain, 43, bersama sembilan lagi ahli keluarga yang lain menjadikan keadaan agak sesak namun dia tiada pilihan lain.

Terdahulu, mereka dikunjungi kumpulan aktivis masyarakat, Cempaka Merah Asnaf Society, yang diwakili Che Norhayati Mohamed yang hadir menyampaikan sumbangan makanan harian dari penyumbang sambil bertanya sebarang keperluan yang diperlukan mereka empat beranak.

Noriza berkata, bukan sahaja dalam tong sampah, besi buruk yang diperoleh dijual dengan harga RM15 satu kilogram namun purata setiap hari dia hanya memperoleh tidak sampai pun setengah kilogram.

Menurutnya, semua pekerjaan yang mendatangkan wang tidak akan ditolaknya asalkan halal malah pernah mengambil upah menjual tiram walaupun dibayar RM2 sahaja.

” Saya tidak boleh menolak kerana semua itu adalah rezeki untuk anak dan walaupun sedikit, sekurang-kurangnya dua anak saya yang bersekolah di Tahun Dua dan Tiga dapat diberikan wang saku meskipun hanya RM1 atau RM2 setiap hari.

” Bayi ini pun belum pernah terputus bekalan lampin pakai buang kerana saya membeli yang paling murah dan tiada jenama (rejected),” katanya sambil memberitahu ada individu yang berhasrat ingin mengambil bayinya untuk dipelihara namun dia enggan berpisah dari semua anak.

Sumber:bharian

 

 

Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!

Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon

Sumber : https://www.asiakini.com/2021/01/25/norizza-kutip-tin-demi-anak/