BERITA baik untuk belia di negara ini apabila inisiatif kredit e-tunai bernilai RM300 juta akan dibuka kepada dua juta belia warganegara Malaysia yang layak bermula 1 Jun depan di bawah Program eBelia.
Menurut Kementerian Kewangan Malaysia (MOF), ia bertujuan meringankan beban kewangan selain menggalakkan perbelanjaan secara tanpa tunai dalam kalangan belia serta pelajar sepenuh masa di institut pengajian tinggi (IPT) tempatan berdaftar.
Katanya, sejumlah RM200 juta telah diperuntukkan bagi menyalurkan RM100 kredit e-tunai bagi setiap belia yang layak di bawah Belanjawan 2021.
“Kerajaan telah menambah baik inisiatif ini dengan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (Pemerkasa) menjadikan keseluruhan peruntukan bagi program ini sebanyak RM300 juta.
“Dengan faedah tambahan ini, setiap penerima layak mendapat nilai kredit berjumlah RM150, berbanding RM100 sebelum ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Mengulas lanjut, MOF berkata, eBelia akan ditawarkan melalui empat penyedia perkhidmatan e-tunai iaitu BigPay, Boost, ShopeePay and Touch ‘n Go eWallet yang secara keseluruhan mempunyai 30 juta pengguna aktif, dan jaringan lebih satu juta peniaga di dalam dan luar talian.
Jelasnya, setiap pemohon yang layak boleh menuntut RM150 dalam bentuk kredit e-tunai daripada salah satu penyedia perkhidmatan e-tunai tersebut.
“Ia akan disertakan dengan insentif tambahan dalam bentuk bayar balik, baucar, mata terkumpul atau coins oleh penyedia perkhidmatan e-tunai yang dipilih sepanjang tempoh kempen,” ujarnya.
Menurut MOF, inisiatif eBelia itu dibuka kepada warganegara Malaysia yang mencapai umur 18 ke 20 tahun pada tahun 2021 atau merupakan pelajar sepenuh masa di peringkat diploma atau SKM 4 dan ke atas di IPT tempatan berdaftar.
Tambahnya, data tersebut akan disemak silang dengan IPT tempatan yang berdaftar dan pangkalan data kerajaan yang berkenaan.
“Tempoh tuntutan kredit tersebut adalah dari 1 Jun hingga 22 Julai dan kredit tersebut boleh dibelanjakan sehingga 31 Julai.
“Mereka yang layak digalakkan untuk mengemas kini akaun di aplikasi e-tunai masing-masing atau memuat turun aplikasi e-tunai tersebut sebelum 1 Jun ini,” katanya.
Selain itu, MOF menjelaskan, eBelia merupakan sebuah kerjasama Kementerian Kewangan bersama Kementerian Pengajian Tinggi, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Pendidikan, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Sumber Manusia, dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : Mstar