Dua kali gagal dlm perkahwinan, kini ibunya hampir 60 tahun. Wanita 34 tahun redha kali ini dapat ayah baru lebih muda dari dia, tak sangka jarak umur

MELIHAT ibunya yang sedang meniti usia emasnya berkahwin baharu bukanlah sesuatu yang mudah untuk diterima sesetengah individu.

Apatah lagi sekiranya usia bakal bapa tiri mereka jauh lebih muda dari anak-anak sendiri.

Namun bagi seorang wanita yang hanya ingin di kenali sebagai Ecah, usia bukanlah halangan untuk seseorang itu mencari kebahagiaannya sendiri.

Berkongsi video majlis pernikahan ibunya, Norlida Mohamed Salleh yang berusia 59 tahun dengan “Abie” mereka, Muhammad Sabree Razaman yang berusia 22 tahun, Ecah, 34 mengakui anak-anak pada mulanya terkejut apabila mendapat tahu mengenai hubungan mereka.

Katanya, kesemua mereka, enam beradik bagaimanapun percaya bahawa bapa tiri mereka ini ikhlas serta mampu membahagiakan ibu yang tersayang.

“Masa mula-mula dapat tau macam terkejut juga sebab Abie muda lagi, sampailah tahap dia nak menghalalkan hubungan dengan mama, jadi kami rasa dia ikhlas nak bahagiakan mama.

“Sebelum berkahwin dia ada jumpa kami adik beradik beritahu yang dia nak berkahwin dengan mama, kami semua ok je,” katanya yang menetap di Jelebu, Kuala Klawang, Negeri Sembilan.

Norlida dan Muhammad Sabree bernikah pada 17 September lalu.

Selain adik beradik, majlis pernikahan ibunya yang berlangsung pada 17 September lalu turut mendapat restu saudara mara termasuk nenek Ecah.

Menurut Ecah, sebelum berkahwin, ibunya ada meluahkan mengenai keikhlasan Abie yang sentiasa mengambil berat serta menjadi pendengar yang baik pada ibunya.

“Dia kata Abie boleh bahagiakan dia dan keikhlasan dia nampak sangat bila kad bank, duit gaji pun dia suruh mama pegang.

“Dia juga selalu ambil berat dan menjadi pendengar yang baik untuk mama,” katanya ketika di hubungi mStar.

Ecah menyerahkan cincin perkahwinan kepada kedua mempelai.

Menceritakan mengenai pertemuan pertama ibu dan Abienya, Ecah berkata, mereka berkenalan dua tahun lepas apabila Abie singgah ke kedai runcit Argo Bazar iaitu tempat dimana ibunya bekerja.

“Mereka kenal selama dua tahun, kenal masa tu Abie pergi gunting rambut dan kebetulan kedai gunting rambut tu bersebelahan dengan kedai mama bekerja dan dia singgah beli barang.

“Dari situ mereka kenal. Abie saya memang bujang, tak pernah berkahwin sebelum ini,” katanya yang bertugas sebagai seorang guru.

Lumrah manusia untuk hidup berpasangan, dan itulah yang dipegang Ecah yang menerima pernikahan ketiga ibunya dengan hati terbuka.

“Saya boleh terima jika itu membahagiakan dia sebab mama saya pernah berkahwin dua kali dan dua-dua perkahwinan tersebut gagal, jadi saya kesian tengok mama.

“Lumrah manusia berpasangankan, kita nak ada teman hidup di sisi, janji dia bahagia,” katanya

Norlida dan Muhammad Sabree berkenalan dua tahun lepas.

Menurut Ecah, bapa kandungnya yang kini menetap di Johor juga sudahpun berkahwin lain.

Perkongsian video perkahwinan ibunya di TikTok menerima reaksi daripada warga maya, ada yang positif, namun tidak kurang juga yang melemparkan tuduhan bahawa ibunya seorang wanita kaya, justeru itu dia menarik minat lelaki muda.

Lumrah manusia berpasangankan, kita nak ada teman hidup di sisi, janji dia bahagia.

Mengakui terguris dengan komen-komen tersebut, Ecah berkata mereka sekeluarga hidup bersederhana.

“Bila terbaca tu memang marah juga la sebab kami ni bukan orang kaya, hidup sederhana je.

“Mama tak kaya, tak kerja pun, sebab tu saya keluarkan satu lagi video untuk jelaskan,” katanya, menambah Abienya bekerja di syarikat SWM Environment Sdn Bhd.

Menurut Ecah, walapun jauh lebih berusia daripada Abienya, dia tetap menghormati bapa tirinya dan hubungan mereka sama seperti bapa dan anak yang lain.

“Hubungan kami okay je, macam bapa dengan anak.

“Perasaan saya pun biasa ja walaupun dia muda kami tetap hormat,” katanya.

 

Sumber: mstar

Apa Pendapat Anda? Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih Banyak.

PERHATIAN: Pihak admin tidak akan bertanggungjawab langsung ke atas komen-komen yang diberikan oleh pembaca kami. Sila pastikan anda berfikir panjang terlebih dahulu sebelum menulis komen anda disini. Pihak admin juga tidak mampu untuk memantau semua komen yang ditulis disini. Segala komen adalah hak dan tanggungjawab anda sendiri.