Penyanyi dan vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh difahamkan masih belum bersedia untuk ditemubual oleh pihak media yang hadir di Konsert Havoc Midnight yang berlangsung di Dataran Karnival Shah Alam, pada Ahad.
Kata penganjur konsert, Faizul Mohd Yusof, 34, dia juga sudah menelefon pengurus Noh, bagaimanapun diberitahu Noh belum bersedia untuk ditemubual.
Pada segmen persembahannya, Noh menyampaikan lagu-lagu popular Hujan seperti Aku Skandal, Kotak Hati dan Dugaannya serta lagu solonya, Bunga Di Telinga dan Angin Kencang.
Di atas pentas, Noh yang juga beraksi solo dengan gitarnya berulang kali menzahirkan penghargaan di atas sokongan yang diterima dari lebih kurang 5,000 penonton yang hadir.
“Saya ingatkan tak ramai orang yang nak hadir ke konsert ini disebabkan cuaca panas, tapi anda semua membuktikan terbaik dengan menyokong persembahan kami semua.
“Terima kasih semua yang hadir dan menyanyikan bersama. Ini juga antara proses untuk saya berpijak pada dunia nyata, di mana adakah saya berani untuk membuat persembahan seorang tanpa hujan. Tapi ternyata amda semua beri semangat pada saya. Terima kasih banyak,” katanya.
Sebelum mengundurkan diri, Noh juga memohon maaf sekiranya ada kekasaran yang dilakukan di atas pentas.
“Saya meminta maaf atas kekasaran saya di atas pentas. Saya tak sangka persembahan malam ini akan gila seperti ini. Saya pulang dengan memori yang baik. Terima kasih,” katanya.
Selepas usai segmen persembahannya, Noh terus berlalu ke belakang pentas dan pulang, diiringi oleh tiga lelaki yang memakai pakaian seragam berwarna hitam yang dilihat seperti pengawal peribadi.
Noh juga tidak duduk di bilik menunggu bersama barisan artis yang turut membuat persembahan, sebaliknya duduk di luar bersama tiga lelaki tersebut.
Selain Noh, artis lain yang membuat persembahan adalah Floor 88, K-Clique, Kugiran Masdo, Zynakal, Yonnyboi.
Kata Faizul, seterusnya pihaknya akan menganjurkan konsert di Johor Bahru bersempena dengan sambutan tahun baharu.
“Selepas ini kami akan buat di Johor Bahru pula iaitu dari 30 Disember sehingga 1 Januari. Konsepnya tetap sama dengan penganjuran di sini. Dan antaranya artis yang akan terbabit adalah K-Clique, Kugiran
Masdo, Bunkface, Naim Daniel dan Akim & The Majistret,” katanya.
Dikenali sebagai Havoc Event & Management Sdn Bhd (HAVOC) atau lebih popular sebagai Havoc Food Festival, tahun ini mereka meraikan masyarakat bersama acara hiburan.
Namun, atas faktor-faktor yang teknikal yang tidak dapat dielakkan, Havoc Midnight Concert yang dijadualkan 3 dan 4 September disatukan pada malam ini saja, bermula jam 9 malam hingga 12 tengah malam.
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : Gempak