SEORANG wanita meluahkan rasa terharu apabila suaminya mengimamkan solat mereka.
Menerusi video yang dikongsinya di aplikasi TikTok, kelihatan mereka berdua baru selesai solat berjemaah dan suaminya khusyuk memeriksa telefon ketika membacakan doa.
“Aku kalau nampak dia buka kasut, kalut aku pun pergi ambik air wuduk. Nak jemaah sekali… dulu suami aku suka ngelat kalau aku minta nak berjemaah dengan dia,” katanya.
Wanita berkenaan, Najihah Mat Zin memberitahu, dia mendirikan rumah tangga bersama suaminya berusia 37 tahun sejak 11 tahun lalu.
Najihah mendirikan rumah tangga selama 11 tahun.
Namun di awal perkahwinan mereka, wanita berusia 33 tahun itu berkata, suaminya cuba mengelak untuk menjadi imam dan solat berjemaah berdua meskipun diminta berkali-kali.
“Mula-mulanya saya ingat suami segan, jadi saya faham dan tidak memaksa. Bila dah bertahun-tahun, saya cuba berbincang dengan suami dengan baik.
“Rupa-rupanya suami segan katanya tak tahu baca doa apabila menjadi imam. Sebab baginya bacaan doa perlu sempurna untuk dirinya dan saya sebagai makmum,” katanya kepada mStar.
Mengulas lanjut, Najihah bagaimananapun memahami alasan yang diberikan suaminya, malah memberi sokongan dan galakan supaya suaminya terus belajar.
“Sebagai suami tak semestinya kena terus jadi imam, tetapi isteri perlu beri semangat kepada suami untuk menjadi ketua yang baik termasuklah mengimamkan solat.
“Saya kata kalau tak pasti, bacalah dalam bahasa Melayu dahulu. Kita baca apa yang kita faham dan niat untuk disampaikan dalam doa tu.
“Kalau tak tahu, boleh belajar. Syukur suami ambil inisiatif belajar daripada rakan-rakan dan ustaz yang dikenalinya,” ujarnya yang berasal dari Parit Buntar, Perak.
Najihah sentiasa memberi semangat kepada suami.
Malahan katanya, suaminya turut mempelajarinya dengan menonton video-video di laman YouTube membabitkan penceramah dan pendakwah bebas seperti Ustaz Azhar Idrus dan Ustaz Don Daniyal termasuk Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin atau lebih dikenali sebagai Dr Maza.
Menurut Najihah, suaminya kini lebih mahir dalam bacaan doa dan lebih yakin untuk mengimamkan solat apabila berjemaah bersama.
Kepada isteri-isteri, sokong dan bimbinglah suami untuk mereka menjadi ketua dan imam dalam keluarga. Hidup berumah tangga ni kena saling melengkapi dan memahami
NAJIHAH
“Buat masa ini, suami dah boleh jadi imam untuk saya, Alhamdulillah. Dia masih belajar dan sebab itu kadang-kadang dia akan tengok telefon untuk melihat bacaan doa yang lengkap.
“Saya kata tak apa, kita belajar perlahan-perlahan tetapi ada usaha untuk mempelajarinya. Sebab tu bila saya nampak suami nak solat, saya cepat-cepat untuk solat bersama.
“Saya mahu suami lebih bersemangat menjadi imam dan belajar dari pengalaman. Hanya Tuhan saja yang tahu betapa gembiranya dapat solat berimamkan suami,” katanya yang mengusahakan bisnes kafe bersama suami.
Najihah dan suami mengusahakan bisnes kafe.
Najihah berkata, dia juga bersyukur kerana dikurniakan suami yang penyayang, lemah-lembut dan bertolak ansur serta rajin membantunya melakukan aktiviti seharian.
“Bukan kesempurnaan yang kita cari kerana manusia tidak lari daripada melakukan kesilapan. Apa yang penting adalah kita belajar untuk menjadi lebih baik dan terbaik.
“Kepada isteri-isteri, sokong dan bimbinglah suami untuk mereka menjadi ketua dan imam dalam keluarga. Hidup berumah tangga ni kena saling melengkapi dan memahami,” katanya.
View this post on Instagram
Dah Baca, Jangan Lupa Komen Dan Share Ya. Terima Kasih!
Like Page Kami Juga Di Facebook @Soya Lemon
Sumber : Mstar