Kuala Lumpur: Dialog ‘mi kari kuah laksa’ dalam Kampong Pisang Bersiri-Siri tidak semena-mena membuatkan watak Yah Kuchai menjadi tular dalam kalangan peminat siri arahan Mamat Khalid itu.
Watak lakonan pendatang baharu, Area Deanna Baharudean, 21, itu kembali menarik perhatian dalam filem 18 Puasa Di Kampong Pisang dan terbaru, Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa.
Afea ketika dihubungi berkata, pada mulanya dia malu apabila diminta membawa watak itu.
Menurut gadis berasal dari Tanjung Piai, Johor ini, dia juga tidak tahu bagaimana rupa Yah Kuchai, selain sukar membayangkan watak mengikut kehendak Mamat.
“Sebelum penggambaran dibuat, abang Mamat menerangkan mengenai watak Yah Kuchai, cuma dia tak terangkan siapa sebenarnya Yah Kuchai.
“Semasa disolek pada hari penggambaran, baru saya tahu Yah Kuchai seorang gadis kampung yang memakai pakaian lama bersaiz besar.
“Sepatutnya gigi Yah Kuchai jongang tapi kerana untuk buat gigi palsu kena ambil masa agak lama, gigi saya terpaksa diconteng untuk menampakkan seperti rosak,” katanya kepada Harian Metro.
Afea yang juga pelatih praktikal Diploma Bahasa Inggeris di Universiti Pendidikan Sultan Idris, Tanjung Malim berkata, peluang berlakon diperoleh apabila bekerja sambilan sebagai pelayan di restoran Sarang Art Hub milik Mamat.
Afea berkata, dia terkejut dan hairan apabila wataknya tular sedangkan ia bukanlah satu watak yang hebat. “Selepas itu baru saya nampak, dari segi mata orang lain Yah Kuchai ada personaliti tersendiri yang jarang orang nampak dalam filem.
“Bayangkan seorang perempuan sanggup berlakon seperti ini. Awal-awal kerjaya sudah berani bawa watak begini yang jarang dibuat pelakon lain.
“Apapun kawan-kawan tetap panggil saya dengan nama Afea. Cuma orang yang baru kenal atau peminat filem ini panggil saya dengan nama Yah Kuchai,” katanya yang berhasrat menjadi guru atau penulis buku.
Afea mengakui ada segelintir pihak yang mempermainkannya dengan gelaran nama itu termasuk di Instagram, namun dia tidak ambil hati dan menganggapnya sebagai gurauan.
Ditanya sekiranya ditawarkan berlakon watak hampir serupa oleh syarikat produksi lain, Afea dengan tegas menolak.
“Kalau watak atau nama sama dengan Yah Kuchai, saya takkan terima kerana saya hormat hasil karya Mamat Khalid.
“Saya rasa seperti mengh1na hasil karya abang Mamat kerana dia memang bekerja keras memerah otak untuk reka watak ini. Ia sukar dan hanya dia seorang faham Yah Kuchai. Saya tak nak mempergunakan watak ini. Asalkan bukan watak tiga suku serta meniru ciri-ciri Yah Kuchai, saya akan terima,” katanya.
Sumber : HM